KOTA BHARU: Pengharaman arak secara total atau sekurang-kurangnya kawalan lebih ketat terhadap penjualannya perlu diambil dalam usaha menangani pelbagai masalah sosial termasuk isu pemandu mabuk yang mengancam keselamatan awam.
Peguam, Nik Saiful Adli Burhan berkata, perbincangan menyeluruh perlu dimulakan kerana minuman keras menjadi antara punca utama kepada pelbagai masalah sosial lain termasuk kemalangan jalan raya.
Katanya, kesan negatif pengambilan arak bukan sahaja dilihat dari sudut agama Islam, malah turut diakui pelbagai agama dan budaya lain sebagai penyumbang kepada keruntuhan moral serta ancaman terhadap keselamatan masyarakat.
“Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar menghukum selepas berlakunya tragedi, tetapi mencegah sebelum ia berlaku.
“Kita boleh mengambil iktibar daripada kejayaan kerajaan dalam mendidik masyarakat menjauhi rokok melalui pengehadan zon merokok yang ketat, sekatan drastik terhadap kaedah jualan dan promosi dan normalisasi gaya hidup tanpa rokok,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan berdasarkan statistik pada tahun 2025, sebanyak 31 kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol, manakala sejumlah 27 kes pula direkodkan pada tahun sebelumnya.
Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan berkata, langkah kawalan lebih tegas seperti sekatan jualan, pengurangan lokasi penawaran serta pemantauan ketat perlu dipertimbangkan sebagai pendekatan jangka panjang.
Katanya, keselamatan nyawa rakyat perlu menjadi keutamaan berbanding kepentingan lain termasuk faktor ekonomi atau kebebasan individu.
“Kita perlu berani membuat perubahan dasar demi melindungi masyarakat daripada risiko yang lebih besar,” katanya.
Nexbyte sebelum ini melaporkan, pemandu mabuk yang dipercayai merempuh seorang penunggang motosikal sehingga meninggal dunia direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat yang menetapkan tempoh reman berkuatkuasa sehingga Khamis ini. – UTUSAN






