PUTRAJAYA: Peruntukan bekalan bahan api melalui penggunaan kad inden yang dibekalkan kepada pegawai agensi kerajaan berkelayakan dikenal pasti berlaku penyalahgunaan sekali gus berpotensi kepada kes ketirisan kewangan kerajaan.
Kad inden tersebut dikhaskan untuk kegunaan kenderaan jabatan, namun didapati telah disalahgunakan bagi pelbagai tujuan lain yang tidak dibenarkan termasuk digunakan oleh pihak tidak berkelayakan.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Ismail Bakar berkata, pihaknya turut mengesan terdapat juga unsur manipulasi penggunaan kad inden yang membuka ruang kepada penyalahgunaan bekalan bahan api.
“Kes berkenaan diperoleh hasil aduan awam dalam kalangan 20 agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC yang turut membongkar isu penyalahgunaan kenderaan jabatan selain bagi kegunaan rasmi jabatan terbabit.
“Kes tersebut dikesan hasil siasatan terhadap aduan yang diterima oleh EAIC,” katanya kepada Nexbyte.
Ismail berkata, penyalahgunaan ini dipercayai berlaku akibat kelemahan kawalan dan penyeliaan terhadap prosedur penggunaan kad inden itu sendiri.
Sehubungan itu, Ismail berkata, pihak EAIC telah mengemukakan syor penambahbaikan kepada agensi terlibat bagi memastikan kawalan dalaman yang lebih ketat.
Jelasnya, hasil siasatan EAIC terhadap aduan yang diterima mendapati terdapat isu ketidakpatuhan terhadap prosedur perolehan membabitkan bekalan bahan api aset jabatan.
“Susulan daripada siasatan EAIC, agensi berkenaan telah mengambil tindakan segera untuk menangani masalah tersebut.
“EAIC mengambil langkah berterusan dalam memantau aduan melibatkan isu penyalahgunaan sumber dan aset jabatan seumpama ini sebagai langkah pencegahan pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, EAIC turut mencadangkan supaya pihak ibu pejabat setiap agensi penguatkuasaan melaksanakan pemantauan berkala di cawangan-cawangan bagi memastikan kawalan dan pematuhan terhadap tatacara pengurusan aset sentiasa dipatuhi.
Mengikut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (WP 4.1 – Pengurusan Kenderaan Kerajaan), kenderaan jabatan hendaklah digunakan untuk tujuan rasmi sahaja secara gunasama oleh pegawai yang tidak dibekalkan dengan Kereta Rasmi Jawatan.
Pegawai yang menyalahgunakan kenderaan jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib dan/atau surcaj selaras dengan peraturan berkuat kuasa. – UTUSAN






