PETALING JAYA: Serbuan terhadap premis perniagaan haram yang dikendalikan warga asing di sekitar Kuala Lumpur termasuk melibatkan komuniti Rohingya di Selayang tidak akan menyelesaikan masalah selagi Akta Anti Ali Baba belum dikuatkuasakan.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, peniaga asing masih berani meneruskan operasi kerana banyak premis berkenaan didaftarkan atas nama pemilik tempatan sebelum diserahkan kepada pihak lain melalui amalan ‘ali baba’.
Beliau berkata, masalah itu semakin meruncing apabila terdapat rakyat tempatan yang bertindak sebagai ‘perisai’ kepada warga asing.
“Buatlah serbuan beribu-ribu kali sekali pun, premis tersebut akan kembali beroperasi keesokan harinya kerana tiada tindakan tegas dapat diambil terhadap individu yang meminjamkan lesen perniagaan mereka. Inilah antara kekangan paling kronik dalam isu ini.
“Akta Anti Rent-Seeking (Ali Baba) belum digubal dan kita belum mempunyai mekanisme undang-undang yang jelas untuk menguatkuasakannya. Selagi akta tersebut tidak diwujudkan, usaha untuk mendakwa pihak yang terlibat akan terus berdepan kesukaran.
“Kita tahu ada pihak yang memperoleh keuntungan bulanan daripada amalan ini. Warga asing mendapat manfaat manakala warga tempatan pula menjadi perisai kepada mereka,” katanya kepada Nexbyte.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan melaksanakan operasi bersepadu yang lebih komprehensif bagi menggempur penempatan dan premis perniagaan haram warga asing di sekitar ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud menegaskan, operasi dengan kerjasama semua agensi berkaitan dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bukan berdasarkan penilaian kepada siapa dalang, kumpulan, kartel atau gengster di sebalik mereka.
Setakat ini, Akta Anti Ali Baba (Akta Anti Rent-Seeking) belum berkuat kuasa sebagai undang-undang khusus dalam membanteras amalan ‘ali baba’ secara menyeluruh dan berkesan.
Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang diperkenalkan bagi tujuan itu baru diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada Ogos, tahun lalu.
Sebagai contoh, Salawati berkata, bangunan Cahaya Suria di Jalan Silang, Kuala Lumpur, sudah lama dikuasai oleh peniaga warga asing.
Katanya, premis-premis di bangunan tersebut dikuasai oleh peniaga dari Myanmar (bukan Rohingya) yang berjaya membangunkan ekosistem ekonomi mereka sendiri.
“Apabila berada di kawasan itu, suasananya seperti berada di Myanmar. Setiap tingkat mempunyai fungsi berbeza seperti pasar raya, restoran, kedai pakaian dan asrama pekerja asing. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak gemar berkunjung ke kawasan itu kerana berbau busuk dan kotor.
“Peniaga asing pula mampu menawarkan harga lebih rendah kerana ada yang beroperasi tanpa mematuhi kewajipan cukai sepenuhnya. Ini memberikan mereka kelebihan daripada segi keuntungan, selain mewujudkan rangkaian ekonomi dan kuasa beli yang kuat dalam komuniti mereka sendiri,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu kewujudan tonto dan segelintir pegawai penguat kuasa yang tidak berintegriti sehingga sanggup membocorkan maklumat operasi kepada pihak tertentu.
“Apabila maklumat serbuan bocor, premis akan ditutup sementara bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan. Ada juga yang menggajikan warga tempatan sebagai helah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN





