PETALING JAYA: Nasib lima kru kapal MV Berkat Tuah termasuk empat rakyat Malaysia yang terkandas di Teluk Parsi sejak lebih sembilan bulan lalu terus menjadi tanda tanya apabila mesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian bersama syarikat berkaitan berakhir tanpa sebarang keputusan muktamad.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, syarikat terlibat sedang menghadapi kesukaran kewangan dan masih berusaha mendapatkan sumber dana bagi membolehkan proses pertukaran kru serta penghantaran pulang kru yang terlibat dilaksanakan.
Katanya, satu mesyuarat tergempar telah diadakan antara Jabatan Laut Malaysia dan syarikat terlibat bagi membincangkan situasi kritikal yang dihadapi oleh lima orang kru MV Berkat Tuah yang masih berada di atas kapal di Pelabuhan Hamriyah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Mesyuarat tersebut diadakan berikutan kebimbangan serius terhadap kebajikan kru selepas satu mesej kecemasan diterima daripada salah seorang kru yang dipercayai mengalami tekanan mental akibat tidak menerima gaji selama empat bulan serta terpaksa berada di atas kapal dalam tempoh yang berpanjangan tanpa kepastian mengenai masa depan mereka.
“Wakil syarikat memaklumkan bahawa mereka sedang menghadapi kesukaran kewangan dan masih berusaha mendapatkan sumber dana bagi membolehkan proses pertukaran kru serta penghantaran pulang kru yang terlibat dilaksanakan. Mesyuarat berakhir tanpa sebarang keputusan muktamad atau penyelesaian yang dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Nexbyte.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, nasib lima orang kru kapal MV Berkat Tuah termasuk empat rakyat Malaysia yang terkandas di Teluk Parsi dijangka diketahui hasil mesyuarat yang akan diadakan melibatkan beberapa pihak berkepentingan.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan langkah-langkah penyelesaian yang terbaik dan paling segera khususnya berkaitan kebajikan kru terlibat, pembayaran gaji yang tertunggak serta proses penghantaran pulang.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada keputusan muktamad yang dapat dicapai, selain penyelesaian terbaik bagi membawa pulang kru kapal MV Berkat Tuah masih gagal dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, Ikmal Azam berkata, Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) telah bersetuju untuk menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga pelaut yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pelaut yang terjejas akibat kegagalan pembayaran gaji yang berpanjangan.
“Selain itu, Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) turut bersetuju menyalurkan bantuan kewangan sebanyak AS$1,000 (RM4,750) kepada setiap keluarga sebagai bantuan segera bagi membantu menampung keperluan keluarga yang terkesan sementara penyelesaian menyeluruh terhadap isu ini terus diusahakan.
“Mesyuarat turut mengambil maklum bahawa pihak pengurusan kapal dan institusi perbankan perlu mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kapal tersebut tidak terdedah kepada sebarang tindakan penahanan atau penangkapan oleh pihak ketiga yang boleh menjejaskan nilai aset kapal.
“Sebarang pengurangan nilai aset berpotensi menyukarkan usaha mendapatkan dana yang diperlukan bagi menyelesaikan isu kebajikan kru serta melaksanakan pertukaran kru dengan segera,” katanya.
Akhbar ini pernah melaporkan nasib lima kru kapal MV Berkat Tuah yang terus menunggu sinar kepulangan selepas hampir sembilan bulan terkandas di Teluk Parsi tanpa sebarang kepastian, selain masih belum menerima gaji selama empat bulan.
Lima kru yang masih bertahan di kapal terbabit adalah Kapten kapal, Hendi Irawan, 43, dari Jakarta, Indonesia; Mohamad Luqman Yahaya, 31, dari Felda Kerteh, Terengganu; Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, dari Sabah; dan Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, dari Tawau, Sabah. – UTUSAN






