PETALING JAYA: Dua parti politik tidak dibenarkan menggunakan logo sama untuk bertanding dalam pilihan raya melainkan mendapat watikah pencalonan daripada pemimpin tertinggi sesuatu parti atau gabungan.
Keadaan itu menyebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas terpaksa menggunakan logonya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ini kerana ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jelas hanya mengiktiraf watikah pencalonan yang ditandatangani pemimpin utama gabungan iaitu Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Ketetapan itu dilihat memberi kelebihan kepada Pas memandangkan Pengerusi PN pada masa ini adalah Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, berdasarkan Peraturan 11(2)(d) (Peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, calon yang bertanding boleh memohon untuk menggunakan logo rasmi parti atau gabungan diwakili pada kertas undi.
Bagaimanapun, katanya, calon perlu mengemukakan surat kebenaran bertulis atau watikah pencalonan daripada pemimpin utama parti bagi mengesahkan bahawa calon dibenarkan menggunakan logo parti atau gabungan tersebut.
“Setiap calon yang bertanding pada pilihan raya sama ada mewakili sesuatu parti atau gabungan, biasanya mereka akan menerima watikah daripada ketua parti iaitu Presiden atau Pengerusi.
“Selepas menerima watikah itu barulah mereka dibenarkan menggunakan sesuatu logo dalam pilihan raya tersebut.
“Jadi dalam isu antara Pas dan Bersatu, siapa Pengerusi PN sekarang, dialah yang mempunyai kuasa dan hak mengeluarkan watikah serta memberi keizinan penggunaan logo parti atau gabungan,” katanya kepada Nexbyte.
Beliau berkata, dua parti politik berlainan tidak dibenarkan menggunakan logo sama untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Katanya, sekiranya senario itu berlaku, SPR hanya akan menerima permohonan calon dengan watikah atau surat kebenaran yang ditandatangani oleh pemimpin utama parti atau gabungan tersebut sahaja.
“Contohnya, Barisan Nasional (BN), di dalam gabungan itu terdapat empat parti, tetapi hanya pengerusinya sahaja yang mempunyai hak menandatangani watikah pencalonan seseorang sebagai calon mewakili parti untuk menggunakan logo gabungan.
“Macam mana pun, pengerusi paling berkuasa, tandatangan timbalan pengerusi pun SPR tidak terima melainkan pengerusi tidak ada,” katanya.
Selasa lalu, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memutuskan untuk terus kekal dalam gabungan PN dan akan menggunakan logo PN bagi PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.
Krisis dalaman PN mencapai kemuncak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua pihak.
Berikutan keputusan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Bersatu sebagai parti pengasas PN akan terus kekal dalam gabungan berkenaan dan memperkukuh teras perjuangannya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad menasihatkan supaya Bersatu dan Pas berbincang untuk mencari jalan penyelesaian memandangkan kedua-dua parti masih merupakan ahli dalam Perikatan Nasional. – UTUSAN






