KANGAR: Perikatan Nasional (PN) semakin bercelaru selepas Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah ‘bercerai’, masing-masing bertegas mahu kekal dalam PN dan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ia sekali gus mencetuskan polemik mengenai siapa yang bakal menguasai PN dan parti mana akan ditendang keluar daripada gabungan.
Langkah awal Pas menghentikan perkhidmatan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya gabungan itu dan digantikan dengan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, dilihat sebagai tindakan untuk menguasai gabungan itu.
Malah, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut diberhentikan daripada jawatan itu.
Pas juga dilihat mempunyai kelebihan sebagai Pengerusi dan Setiausaha Agung PN yang antara lain memiliki autoriti menandatangani watikah calon-calon pilihan raya daripada gabungan itu.
Manakala Bersatu antara pengasas utama PN pula lebih berkelebihan daripada sudut teknikal khususnya berkaitan selok-belok Perlembagaan gabungan berkenaan.
Sebarang keputusan atau proses penyingkiran boleh ditafsir sebagai pelanggaran terhadap perlembagaan PN yang akan dimanfaat sepenuhnya oleh Bersatu.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, beliau menjangkakan status PN akan tergantung dengan kedua-dua parti tidak boleh ‘menendang’ keluar sesama sendiri daripada gabungan.
Beliau berkata, pada masa ini, terdapat dua versi tafsiran perlembagaan daripada kedua parti yang sudah pastinya masing-masing mencari jalan untuk kekal dalam PN.
Katanya, kebanyakan pemimpin kedua parti tersebut juga merupakan ahli politik yang berpengalaman luas dan tidak mudah untuk mengalah atau memberikan laluan.
“Bagaimanapun, Pas dilihat mempunyai kelebihan untuk kekal di dalam PN sekali gus menendang Bersatu keluar daripada gabungan tersebut. Malah, pentadbiran kanan PN kini dikuasai oleh Pas dengan pemimpin Bersatu telah diberhentikan perkhidmatan,” katanya kepada Nexbyte di sini, semalam.
Kelmarin, Bersatu memutuskan untuk terus kekal dalam PN dan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo gabungan itu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu sebagai parti pengasas PN tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan gabungan berkenaan di samping tiada mana-mana pihak boleh menyingkirkan Bersatu daripada PN secara unilateral.
Kata Muhyiddin, tindakan sedemikian perlu mematuhi perlembagaan gabungan itu, termasuk ketetapan yang memerlukan keputusan dibuat secara konsensus.
Sebelum itu, Nexbyte melaporkan, Pas tetap dengan keputusan menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Bendahari Agungnya, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu selaras dengan kedudukan Pas yang masih kekal dalam PN walaupun kerjasama politik dengan Bersatu telah berakhir.
Sementara itu, Hashim berkata, Pas tetap berkelebihan di dalam pilihan raya sekali pun tidak menggunakan logo PN dan ia berbeza dengan Bersatu yang tidak pernah menggunakan lambang sendiri untuk bertanding solo.
“Pas sekian lama menggunakan lambang parti itu termasuk di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pas bukan sahaja satu jenama tetapi telah terbukti diterima secara jelas di kedua-kedua negeri tersebut.
“Dengan kekuatan Pas di Kedah dan Perlis sebelum krisis Menteri Besar, menggunakan logo sendiri memang tidak langsung menjadi masalah kepada parti berkenaan.
“Bersatu tidak lagi pernah menggunakan logo dan bertanding solo. Bukan senang sebenarnya Bersatu untuk menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan dengan logonya sendiri, apatah lagi berdepan PRU16,” katanya. – UTUSAN






