SHAH ALAM: Pondok-pondok telefon awam di negeri ini yang tidak lagi digunakan sebagai suatu kemudahan disaran supaya diinovasikan untuk pelbagai kegunaan yang boleh dimanfaatkan secara umum.
Antara cadangannya termasuklah menjadikan pondok telefon sebagai tempat kitar semula pintar, pusat kecemasan dan keselamatan komuniti ataupun perpustakaan mini dengan menukarnya sebagai rak buku dengan kemudahan pertukaran percuma.
Yew Jia Haur (PH-Teratai) dalam perbahasannya mengenai Rancangan Selangor Kedua (RSK2) berkata, kebanyakan pondok-pondok telefon awam kini terbiar dan mencacatkan keindahan landskap perbandaran.
“Isu pondok-pondok telefon awam yang terbiar. Kita masih dapat melihat rangka-rangka pondok telefon lama yang usang, berkarat, dan tidak lagi berfungsi di merata-rata tempat.
“Malangnya, ia dibiarkan reput menjadi sakit mata memandang. Lebih membimbangkan, pondok-pondok terbiar itu sering kali menghalang laluan pejalan kaki, menjadi tempat pembuangan sampah haram, ruang vandalisme dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyeru supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan secara bersepadu dengan syarikat telekomunikasi bagi memulihara struktur-struktur terbiar itu.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pondok telefon terbiar menjadi pusat pengecasan peranti yang berasaskan kuasa solar yang boleh digunakan oleh orang ramai.
“Pasang panel solar bersaiz kecil di bumbung pondok tersebut dengan port pengecasan USB. Itu memberi kemudahan kepada pejalan kaki, penunggang p-hailing atau pelajar untuk mengecas telefon pintar mereka ketika berada di luar,” ujarnya. – UTUSAN






