KUANTAN: Tidak mensia-siakan peluang kedua diberikan, seramai 14 orang bekas penagih dadah bangkit membina kehidupan baharu mereka dengan bekerja di sebuah medan selera di bandar raya ini.
Seawal pukul 4 pagi lagi mereka sudah berkumpul untuk bersiap memulakan pekerjaan sebelum premis yang terletak di belakang Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini itu dibuka kepada orang ramai mulai pukul 6 pagi.
Medan Selera The Kacik 1998 itu bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan masyarakat tempatan malah kini diangkat sebagai antara model transformasi sosial terbaik negara.
The Kacik 1998
Selain kualiti rasa, tawaran harga mesra poket di bawah RM2 untuk hidangan sarapan dan bawah RM10 bagi makan tengah hari menjadi daya tarikan utama pelanggan di medan selera itu saban hari.
Selain itu, konsep di The Kacik 1998 yang menyediakan peluang pemulihan yang ‘memanusiakan’ semula golongan bekas penagih, memberi mereka ruang membina maruah diri dan masa depan melalui rezeki yang halal tanpa dibayangi cemuhan lampau.
Presiden dan Pengasas Pertubuhan Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Khalid Hashim berkata, idea penubuhan medan selera tersebut tercetus daripada kesukaran golongan bekas penagih dadah untuk mengekalkan kepulihan mereka disebabkan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang stabil.
“Sikap prejudis dan diskriminasi masyarakat dan undang-undang berkaitan dadah yang menghukum adalah tembok besar buat mereka. Walaupun sudah bersih, rekod lampau sering kali menjadi batu penghalang untuk mereka membina hidup baharu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

–MINGGUAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Khalid berkata, nama ‘1998’ yang tertera pada medan selera tersebut merupakan simbolik kepada tahun bermulanya idea penubuhan Komited Malaysia.
Kacik pula katanya, adalah slanga orang pantai timur kepada penagih dadah yang sedang ‘kacip’ iaitu suatu keadaan seseorang yang khayal atau high selepas mengambil dadah.
Beliau berkata, kini selepas hampir tiga dekad beroperasi, transformasi daripada sebuah pusat sokongan komuniti kepada sebuah pertubuhan yang berdikari diharapkan menjadi realiti.
“Di Medan Selera The Kacik 1998, setiap rantaian pengurusan, daripada penyediaan makanan, khidmat pelanggan sehinggalah kepada pengurusan kewangan dikendalikan sepenuhnya oleh pelatih Komited Malaysia.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberikan mereka (bekas penagih) sumber pendapatan yang halal dan tetap malah membina semula kekuatan kendiri dan maruah diri yang pernah hilang,” katanya.
Menurutnya, melalui program integrasi sosial ini para pelatih didedahkan dengan latihan kemahiran keusahawanan yang komprehensif dan sijil pengendalian makanan yang sah.
“Kami mahu mereka keluar dari sini bukan sebagai bekas penagih tetapi sebagai usahawan yang mampu berdikari dan menyumbang kembali kepada ekonomi setempat,” tambahnya.

sijil pengendalian makanan di Medan Selera The Kacik 1998.
Khalid berkata, berdepan dengan pelanggan setiap hari turut berfungsi sebagai terapi psikologi secara tidak langsung bagi golongan tersebut untuk membiasakan diri dengan masyarakat seterusnya menempatkan mereka semula ke dalam masyarakat.
Langkah itu juga katanya, secara signifikan didapati berjaya mengurangkan kadar kembali menagih dalam kalangan pelatih kerana mereka sentiasa sibuk dan mempunyai matlamat hidup yang jelas.
Model perniagaan mampan
Dalam pada itu katanya, kisah kejayaan The Kacik 1998 turut menarik perhatian pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang menyifatkannya sebagai penanda aras baharu.
Jelasnya, model perniagaan sosial seperti itu dilihat lebih mampan berbanding bergantung sepenuhnya kepada sumbangan atau dana bantuan semata-mata.
“Keuntungan yang dijana daripada operasi medan selera ini disalurkan semula bagi membiayai kos pengurusan rumah perlindungan dan program intervensi dadah yang lain.
“Sokongan padu Yayasan Hasanah, sebuah yayasan berpaksikan impak yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 2015 menerusi pemberian geran strategik telah membolehkan fasiliti dan fasilitator program ini dinaik taraf ke tahap yang lebih profesional,” katanya.
Menurutnya, kerjasama erat itu membuktikan bahawa sinergi antara yayasan korporat dan NGO di lapangan mampu menyelesaikan isu sosial yang kompleks secara tuntas.
“Rata-rata pelanggan yang mengunjungi medan selera ini memberikan maklum balas yang sangat positif, bukan sahaja kerana kualiti makanan tetapi juga layanan yang diberikan.
“Masyarakat kini mula menyedari bahawa memberi sokongan kepada perniagaan ini bermakna mereka turut sama menyumbang kepada proses pemulihan seseorang individu. Ini lebih baik daripada memandang serong kepada golongan bekas penagih,” katanya.

Beliau berkata, laporan The Long Harvest oleh Yayasan Hasanah secara keseluruhannya menghantar mesej jelas bahawa perubahan sosial memerlukan kesabaran, strategi yang betul dan sokongan berterusan.
Katanya, Komited Malaysia berharap agar model The Kacik 1998 ini dapat dilaksanakan di negeri-negeri lain bagi membantu lebih ramai golongan recovering addicts di seluruh negara.
“Sesungguhnya, kejayaan yang terpapar dalam laporan tahunan Yayasan Hasanah itu adalah bukti bahawa tiada istilah terlambat untuk seseorang itu kembali berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Program berimpak tinggi
Kejayaan The Kacik 1998 itu menjadi tema utama dalam laporan The Long Harvest iaitu laporan tahunan Yayasan Hasanah pada 2025.
Ia dipilih sebagai antara tujuh kisah transformasi dalam laporan tersebut yang memaparlan bagaimana perubahan sosial yang berkekalan tidak bergantung kepada bantuan semata-mata, sebaliknya dibina melalui peluang, kepercayaan dan sokongan berterusan sehingga komuniti mampu berdikari.
Sementara itu, seorang bekas penagih yang ingin dikenali sebagai Man, 42, melahirkan rasa syukur atas peluang kedua yang diberikan di medan selera berkenaan.
“Dulu hendak beri kerja, pandang muka saya pun orang takut. Tetapi di sini, kami diajar memegang tanggungjawab dan menguruskan perniagaan dengan jujur,” katanya.
Seorang lagi pekerja medan selera berkenaan, Zack, 38, turut berkongsi rasa bangga kerana diberi peluang bekerja di The Kacik 1998.
“Di luar sana, sukar untuk orang percayakan bekas penagih seperti kami terutamanya apabila melibatkan duit.
“Di The Kacik 1998 kami bukan sahaja dipulihkan daripada ketagihan tetapi maruah dan integriti kami dibina semula melalui tanggungjawab yang diberikan,” ujarnya.

Zack yang kini sudah tiga tahun bebas sepenuhnya daripada dadah menyifatkan persekitaran kerja yang saling menyokong di medan selera itu sebagai ‘perisai’ utama daripada kembali terjebak dengan tabiat lama.
“Dorongan berterusan rakan sekerja yang berkongsi latar belakang sama membuatkan saya berasa lebih selamat dan dihargai,” katanya.
Dia juga berharap masyarakat dapat membuka mata dan memberikan sokongan moral kepada premis tersebut memandangkan setiap hidangan yang dibeli oleh pelanggan adalah simbol sokongan terhadap fasa baharu kehidupan golongan bekas penagih sepertinya.
“Sokongan kecil daripada pelanggan adalah pemacu semangat terbesar untuk kami terus melangkah ke hadapan,” katanya.-UTUSAN.






