PETALING JAYA: Perkembangan komunikasi, bahasa, sosial dan tingkah laku kanak-kanak autisme berisiko tidak mencapai tahap optimum sekiranya intervensi lewat dimulakan.
Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Azyati Yusoff berkata, intervensi yang dimulakan pada usia awal berpotensi memberi kesan lebih besar terhadap perkembangan kanak-kanak berbanding terapi yang hanya dimulakan pada usia lebih lewat.
“Dalam terapi kanak-kanak autisme, masa adalah faktor yang sangat penting. Tahun-tahun awal kehidupan merupakan tempoh perkembangan otak yang paling pesat. Ibarat span, otak kanak-kanak pada usia awal sangat mudah menyerap pengalaman, pembelajaran dan rangsangan daripada persekitaran.
“Pada masa sama, otak mempunyai neuroplastisiti yang tinggi iaitu keupayaan untuk membentuk dan mengukuhkan sambungan saraf sebagai tindak balas kepada pengalaman, latihan atau terapi,” katanya kepada Nexbyte.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kekurangan pakar menyebabkan kanak-kanak autisme terpaksa menunggu antara enam hingga sembilan bulan untuk mendapatkan sesi terapi di klinik kerajaan.
Perkara itu didedahkan oleh Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam yang memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mempunyai 14 pakar perkembangan kanak-kanak bagi mengendalikan kes autisme dan kecelaruan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) yang kompleks di hospital terpilih.
Mengulas lanjut, Dr. Nor Azyati berkata, proses mendapatkan rawatan bagi kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan melibatkan dua peringkat utama iaitu pemeriksaan serta pengesahan diagnosis oleh doktor pakar sebelum intervensi dan terapi dapat dimulakan.
Katanya, kanak-kanak yang telah disahkan diagnosis perlu segera menjalani terapi cara kerja, terapi pertuturan dan psikologi bagi meningkatkan tahap kefungsian mereka.
“Kebelakangan ini, tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan semakin panjang, malah boleh mencecah antara empat hingga enam bulan berikutan peningkatan mendadak dalam rujukan kes kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan perkembangan.
“Selepas diagnosis disahkan, kanak-kanak akan disarankan menjalani intervensi bagi meningkatkan kefungsian dari aspek pertuturan, komunikasi dan sosial serta mengurangkan cabaran tingkah laku.
“Namun, sebilangan besar kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk mengakses perkhidmatan itu disebabkan kekangan kepakaran dan kekurangan kemudahan berkaitan dalam komuniti,” katanya. – UTUSAN






