BAGAN DATUK: Masjid menjadi sebahagian ekosistem pelancongan negara yang terus menjalankan peranannya sebagai rumah ibadah, pusat dakwah dan institusi yang mendekatkan masyarakat kepada Islam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif seperti Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 mempunyai nilai yang cukup besar.
“Pusat Pelancongan Islam (ITC) terus memperkukuh ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) melalui pembangunan standard, latihan dan pengiktirafan industri.
“Alhamdulillah, pada tahun ini Malaysia sekali lagi dinobatkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik (OIC) dalam laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026 sekali gus meneruskan kecemerlangan negara untuk 11 tahun berturut-turut,” katanya pada Majlis Perasmian Program Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini semalam.
Teks ucapan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian & Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Katanya, kedudukan itu perlu terus diperkukuh dan institusi masjid mempunyai peranan yang besar dalam usaha tersebut.
“Masjid boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan pelancong mengenali sejarah, budaya dan ketamadunan Islam di negara kita.
“Apabila mereka datang, biarlah yang dibawa pulang bukan hanya gambar keindahan masjid, tetapi juga pengalaman tentang keramahan masyarakat dan nilai Islam yang mereka temui di Malaysia,” katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu turut berbangga apabila Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk menjadi masjid ke-98 bagi masjid pelancongan di negara ini.
Masjid tersebut terpilih kerana keunikan seni bina serta kemudahan serba lengkap termasuk galeri yang berfungsi sebagai pusat ilmu.
Masjid terapung di tepian Sungai Perak itu telah siap dibina pada 2023 dan dinamakan sempena nama ibu bapa Ahmad Zahid iaitu Allahyarham Tuminah Abdul Jalil dan Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah. – UTUSAN






