PETALING JAYA: Teknologi keselamatan secanggih mana sekalipun tidak akan memberi kesan sekiranya petugas yang mengendalikannya gagal menjalankan tugas dengan penuh integriti.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan berkata, terdapat keadaan tertentu apabila petugas tidak memberi perhatian sepenuhnya ketika menggunakan mesin pengimbas sekali gus membuka ruang kepada barangan terlarang melepasi pemeriksaan keselamatan.
“Saya yakin kes yang berlaku baru-baru ini bukan terpencil, tidak mustahil banyak yang mungkin sudah terlepas kerana ia boleh melepasi banyak pemeriksaan keselamatan,”katanya dalam podcast bersama Nexbyte di sini hari ini.
Katanya, aspek integriti dan kemungkinan berlaku kecuaian dalam kalangan petugas perlu diberi perhatian serius kerana teknologi hanya berkesan sekiranya dikendalikan dengan betul.
Menurutnya, beliau sendiri pernah melihat keadaan di lapangan apabila pegawai yang bertugas tidak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap paparan mesin pengimbas ketika pemeriksaan dijalankan.
“Saya pernah tegur perkara seperti ini. Kalau saya sebagai orang awam nampak keadaan itu, saya persoalkan mengapa pemeriksaan tidak dibuat dengan betul.
“Bukan semua begitu tetapi ada kes yang saya lihat sendiri dan saya tegur,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kedudukan geografi Malaysia yang dikelilingi perairan termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka sememangnya memberikan cabaran besar kepada usaha mengawal sempadan negara.
Bagaimanapun, katanya, faktor geografi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kelemahan kawalan sempadan, sebaliknya pendekatan penguatkuasaan perlu diperkukuh melalui gabungan aset, teknologi, integriti dan penyeliaan.
“Tidakkan kita hendak letakkan setiap satu meter tentera dan polis untuk menjaga sempadan. Itu memang tidak logik.
“Jadi kita kena bersedia untuk membantu polis dan tentera. Kena ada aspek integriti juga.
“Gabungan antara aset, integriti, penyeliaan dan ketegasan, insya-Allah sempadan laut dan sempadan darat kita akan lebih mantap,” katanya.
Sebelum ini, isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, baru-baru ini.
Susulan itu, Jemaah Menteri mengarahkan KDN dan MOT mengemukakan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.
Arahan itu susulan kebimbangan kerajaan terhadap beberapa insiden terbaharu yang disifatkan berpotensi menjejaskan imej negara selain menimbulkan persepsi mengenai kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan di premis berkenaan. – UTUSAN






