KUANTAN: Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila merangkul sembilan anugerah pada Malam Anugerah Industri Pelancongan 2026 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA).
Tourism Pahang menerima anugerah utama Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia, sekali gus membuktikan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri ini serta keyakinan berterusan pelancong terhadap pelbagai produk dan destinasi pelancongan yang ditawarkan di Pahang.
Selain itu, lapan lagi anugerah dirangkul oleh pemain industri pelancongan Pahang, iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang menerima tiga anugerah bagi kategori Inisiatif Pembangunan Pelancongan Terbaik, Destinasi Rekreasi Terbaik dan Program Pelancongan Lestari.
East Coast Mall (ECM) Kuantan pula menerima anugerah Pusat Membeli-belah Terbaik Kuantan, manakala LoVita Hotel Kuantan dinobatkan sebagai Hotel Bajet Terbaik daerah ini.
Dalam pada itu, Resort World Genting menerima pengiktirafan sebagai Destinasi Peranginan Bersepadu Terbaik, manakala SkyAvenue turut meraih dua anugerah iaitu Destinasi Tanah Tinggi Terbaik dan Destinasi Percutian Keluarga Terbaik.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi hadir mewakili kerajaan Pahang untuk menerima anugerah Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia yang diadakan di Grand Lagoon Ballroom, Sunway Resort Hotel, Selangor.
Beliau berkata, pencapaian itu merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan dan semua pemain industri yang sentiasa komited dalam memperkukuh sektor pelancongan Pahang. – UTUSAN






