MESKIPUN pelbagai pihak membuat pelbagai kesimpulan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk mengaitkannya dengan dakwaan salah urus dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang, isu yang lebih besar ialah sejauh mana campur tangan politik mempengaruhi institusi itu.
Bukan sahaja pelantikan pengerusi dan anggota lembaga pengarah perlu bebas daripada pengaruh politik, malah setiap dasar serta keputusan berkaitan masa depan TH juga wajar dibuat berasaskan tadbir urus yang baik, bukannya didorong kepentingan atau agenda politik.
Memandangkan majoriti pendeposit TH ialah orang Melayu, institusi itu sering menjadi aset politik yang berpotensi mempengaruhi sentimen pengundi. Justeru, setiap keputusan yang melibatkan TH mudah dimanipulasi untuk meraih sokongan politik, terutama ketika menjelang pilihan raya.
Sebagai contoh dilaporkan dalam RCI TH, didapati antara faktor yang menyebabkan institusi itu menghadapi krisis kewangan sebelum ini adalah disebabkan pembayaran hibah yang tinggi.
Jelas laporan itu, TH ghairah membayar agihan keuntungan yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan institusi tersebut. Pembayaran agihan keuntungan yang tinggi sebelum 2018 telah menyebabkan rizab TH menyusut.
Kesan daripada tindakan tersebut, RCI berkata, TH terpaksa mengambil risiko pelaburan yang berlebihan berbanding dengan apa yang sewajarnya. Justeru, sebarang keputusan pemberian hibah di peringkat lembaga pengarah perlu berpaksikan akauntabiliti yang tinggi serta keputusan berasaskan prinsip kewangan dan syariah.
Dalam masa sama, proses pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah juga perlu diberikan perhatian serius. Individu yang dipilih mestilah memiliki pengalaman, kepakaran dan integriti yang tinggi, bukannya berdasarkan pertimbangan politik atau hubungan dengan mana-mana pihak.
Lantikan berasaskan kepentingan politik membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menyerang kredibiliti TH, terutama apabila timbul isu berkaitan tadbir urus atau prestasi institusi itu. Keadaan ini menyebabkan setiap keputusan yang dibuat mudah dipersepsikan mempunyai agenda politik, sekali gus menjejaskan keyakinan pendeposit dan masyarakat terhadap TH.
Sebarang syor penambahbaikan TH tiada gunanya sekiranya institusi itu diheret demi kepentingan politik tertentu sama ada untuk dijadikan medan serangan menjelang pilihan raya atau agenda kepentingan sendiri.
Sebagai institusi kewangan Islam yang menjadi kebanggaan negara, TH perlu dilindungi daripada sebarang bentuk campur tangan yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat. Integriti institusi jauh lebih penting daripada kepentingan politik yang bersifat sementara.
RCI seharusnya dijadikan titik permulaan untuk melakukan pembaharuan menyeluruh terhadap struktur tadbir urus TH, bukannya sekadar medan untuk mencari kesalahan atau menyalahkan mana-mana pihak.
Sudah tiba masanya TH diperkukuhkan sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang benar-benar profesional, bebas daripada campur tangan politik dan berpaksikan kepentingan pendeposit. Hanya dengan tadbir urus yang telus serta keputusan berasaskan prinsip kewangan dan syariah, keyakinan rakyat terhadap institusi ini dapat terus dipelihara.
Juani Munir Abu Bakar ialah Pengarang Berita Nexbyte
TH bukan medan percaturan politik