PETALING JAYA: Akaun fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang dijangka boleh diakses oleh ahli pada April depan wajar diwujudkan namun perlu ditegaskan hanya untuk keperluan mendesak seperti perubatan atau pengajian.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bahagian caruman bagi akaun tersebut juga perlulah tidak melebihi satu pertiga atau satu perempat daripada keseluruhan caruman bulanan.
“KWSP perlu meneliti keperluan pencarum menggunakan Akaun Fleksibel itu untuk keperluan mendesak atau kecemasan dan meletakkan syarat yang sepatutnya agar tidak disalah guna seterusnya memberi kesan buruk seperti wang persaraan tidak mencukupi nanti.
“Namun, pada pandangan saya, Akaun 3 ini merupakan mekanisme terbaik dan membantu sekiranya kita berdepan ancaman wabak seperti Covid-19 sekali lagi selepas ini,” katanya kepada Nexbyte.
Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, fungsi Akaun Fleksibel itu perlu diperhalusi hanya untuk pencarum tertentu sahaja iaitu mereka yang sudah mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.
Ujarnya, fungsi itu lebih kepada pencarum yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi tetapi memerlukan wang tambahan atas maksud kecemasan.
“Bagi pencarum yang tidak mempunyai simpanan persaraan yang banyak, tetapi mereka memerlukan wang tambahan, Akaun 3 KWSP sebenarnya bukan mekanisme yang sesuai untuk mereka kerana akan mendatangkan masalah di hari tua nanti,” katanya.
Bagaimanapun, Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Nasihat Kesihatan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus berkata, Akaun 3 yang dicadangkan oleh KWSP hanya akan memburukkan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan dan kos ekonomi serta sosial akan lebih besar di masa depan.
Ujarnya, ia sepatutnya tidak dibenarkan untuk pengeluaran sendiri oleh pencarum.
“Jika niatnya untuk membenarkan pengeluaran dalam situasi krisis, Akaun 3 sepatutnya dibiayai melalui sumbangan tambahan daripada majikan.
“Ini adalah peranan kerajaan, dan kerajaan yang berfikiran reformis harus memperkuatkan tekad politiknya untuk mencapai keseimbangan sosioekonomi yang lebih baik di negara ini,” ujarnya.
Pengumuman Akaun Fleksibel dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu.
Beliau mengumumkan bahawa Akaun Fleksibel atau Akaun 3 sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahlinya pada bila-bila masa dan akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula untuk memperkasakan simpanan persaraan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga sebelum ini menjelaskan KWSP akan menyatakan dan menerangkan cara-cara pengeluaran selepas pengumuman dividen KWSP 2023. – UTUSAN






