PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), REGENERASI melancarkan kempen #MYPalmPride bagi menghapuskan tanggapan yang salah mengenai pengeluaran minyak sawit dalam kalangan belia.
Kempen yang berlangsung sehingga 31 Ogos itu bertujuan menggalakkan kemampanan pengeluaran minyak sawit di Malaysia sekali gus menekankan sumbangan positifnya kepada ekonomi dan alam sekitar.
Presiden REGENERASI, Emilia Uzir berkata, golongan belia hari ini bertanggungjawab menentukan masa depan yang lebih mampan untuk perkembangan negara lebih baik.
“Belia adalah kuasa hari ini dan masa depan. Mereka bukan sahaja menjadi penerima manfaat tetapi ‘arkitek’ pembangunan di dunia,” katanya dalam kenyataan.
Kempen #MYPalmPride ini turut disertai oleh tujuh ahli Majlis Belia REGENERASI yang berpangkalan di Malaysia, berperanan sebagai penyokong kelestarian amalan minyak sawit.
Antaranya, Presiden Majlis Belia REGENERASI, Hoh Jia Da, Timbalan Presiden Majlis Belia REGENERASI, Latt Omar Datuk Latt Shariman dan Naib Presiden Pemuda Majlis REGENERASI, Hiffni Ariff Normas Yakin.
Jelas Emilia, kempen yang ditumpukan di media sosial dan pelbagai platform digital bagi menggalakkan golongan belia untuk menyokong dan menyertai misi ini.
“Semua belia juga diseru untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan sepanjang tempoh kempen, melalui media sosial REGENERASI,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Kaur Sron berkata, kempen itu bukan hanya mengenai minyak sawit, malah penting bagi memperkasa belia Malaysia untuk menerajui usaha kelestarian.
“Dengan memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran, kempen ini bertujuan untuk memberi pencerahan kepada belia Malaysia tentang amalan lestari dan bertanggungjawab yang terlibat dalam pengeluaran minyak sawit Malaysia, menonjolkan sumbangan positif kepada ekonomi dan alam sekitar.
“Kempen ini menonjolkan anak-anak muda sebagai duta kempen yang melibatkan tujuh ahli Majlis Belia REGENERASI berpangkalan di Malaysia yang berfungsi sebagai penyokong bersemangat untuk amalan minyak sawit lestari,” katanya.
Dalam itu, Setiausaha Agung Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Dr. Rizal Affandi Lukman berkata, pihaknya turut berganding bahu dalam menyokong kempen ini.
“CPOPC menyokong #MYPalmPride sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran belia mengenai kelestarian minyak sawit.
“Kami mengharapkan kerjasama melalui inisiatif ini kerana CPOPC menggalakkan belia untuk aktif dalam aktiviti kemampanan minyak sawit,” katanya. – UTUSAN






