KUALA LUMPUR: Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) Selangor 2024 menyediakan sejumlah 10,000 unit hartanah pelbagai jenis kepada pengunjung dengan nilai keseluruhan jualan hampir RM1.5 bilion.
Pengerusi Penganjuran MAPEX Selangor 2024, Loo Chee Yang berkata, penganjuran oleh Persatuan Pembangunan Hartanah dan Perumahan (REHDA) Selangor kali ini melibatkan sebanyak 11 pemaju hartanah.
“Para pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai rumah mampu milik daripada Lembaga Perumahan Hartanah dan Perumahan Selangor dalam pameran selama tiga hari yang berakhir pada Ahad ini.
“Kami memahami kelulusan pinjaman merupakan salah satu cabaran kepada pembeli rumah, maka tahun ini Affin Bank akan memberi penerangan lanjut mengenai permohonan pinjaman perumahan kepada para pengunjung, ” katanya semasa Pelancaran MAPEX Selangor 2024, di sini, semalam.
Chee Yang menambah, pameran itu juga turut mempamerkan pangsapuri yang berharga bermula serendah RM330,000 sahaja.
“Dengan kehadiran pelbagai pemaju hartanah yang terkemuka, pelawat dapat meneliti pelbagai jenis rumah daripada kondominium mewah hingga rumah teres sederhana serta dapat membandingkan harga dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh setiap projek, ” katanya.
Katanya, MAPEX Selangor 2024 telah menyediakan pelbagai promosi dan tawaran istimewa kepada pelawat yang membuat pembelian sepanjang pameran ini.
“la termasuk diskaun harga, insentif kewangan atau pakej tambahan menarik dan pelawat boleh memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan nilai terbaik dalam menjimatkan kos pembelian,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi REHDA Selangor, Datuk Zaini Yusoff berkata, industri hartanah merupakan antara sektor utama memacu pertumbuhan ekonomi di negara yang berdepan pelbagai cabaran signifikan, termasuk lonjakan kos pembinaan dengan mendadak dan kepelbagaian permintaan dalam pasaran.
“Pemaju harus mengkaji dan menyusun semula strategi pembangunan hartanah mereka dengan memberi tumpuan kepada kelestarian dan reka bentuk berdaya tahan serta integrasi teknologi digital dalam industri pembinaan juga satu aspek yang semakin kritikal dan harus dilaksanakan dengan segera.
“Dalam era penuh dengan perubahan dan transformasi ini, REHDA Selangor tetap kekal teguh di barisan hadapan dalam menghadapi cabaran ini dan secara konsisten menjadi rakan setia bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memajukan industri hartanah dengan lebih progresif, inovatif dan dinamik,” katanya. – UTUSAN






