PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan penciptaan RM250 juta dalam peluang eksport digital menerusi pembabitan 70 syarikat teknologi tempatan yang dibawa ke Indonesia untuk menyertai program DEX Connex Indonesia.
Menurut kenyataan, inisiatif itu adalah bagi mengetengahkan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat teknologi Malaysia dan Indonesia, seterusnya menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi digital ASEAN.
“Pertukaran MoU itu merangkumi beberapa komponen utama termasuk mempertingkatkan penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan memperkasa individu muda dengan pendekatan peningkatan kemahiran.
“Selain itu, pertukaran MoU tersebut juga bagi mewujudkan kuasa serantau dalam penyelesaian digital berasaskan 3D, mengembangkan penyewaan kereta dan berkongsi perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Di antara MoU yang dimeterai adalah di antara CTAPPS MSC Sdn. Bhd dari Malaysia dan PT Primedia Armoekadata Internet dari Indonesia yang mana melibatkan kedua-dua syarikat itu dalam penyelesaian ICT.
Seterusnya, pertukaran MoU antara ReSkills dari Malaysia dan JCI dari Indonesia bagi memperkasakan individu muda dengan menyediakan akses kepada peluang pembelajaran yang diperakui secara global di universiti dan kolej di Indonesia.
Melalui akaun langganan pembelajaran ReSkills, ia membolehkan mereka meningkatkan kemahiran, memajukan kerjaya mereka dan meneruskan usaha keusahawanan.
Dalam pada itu, pertukaran MoU Innoveam dan PT Inovasi Multimedia bagi mengesahkan hasrat Innoveam agar PT Inovasi Multimedia Indonesia menjadi anak syarikat sebenar Innoveam dengan pemilikan 70 peratus.
Ia sekali gus menandakan permulaan rasmi rancangan Innoveam untuk menjadi kuasa serantau dalam penyelesaian digital berasaskan 3D untuk industri aplikasi.
Sementara itu, pertukaran MoU dalam program DEX Connex berkenaan turut melibatkan antara WAHDAH Technologies Sdn. Bhd. (WAHDAH) dari Malaysia dan PT Domo Manajemen Grup (Dokter Mobil) dari Indonesia.
WAHDAH mengembangkan perkhidmatan penyewaan dan perkongsian keretanya ke Indonesia dengan menubuhkan PT WAHDAH Mobility Tech.
Justeru, Dokter Mobil akan berkhidmat sebagai rakan kongsi bengkel WAHDAH, memberikan sokongan yang lancar untuk kumpulan penyewaan kereta di seluruh negara.
Program DEX Connex berfungsi sebagai platform penting bagi peserta dari kedua-dua negara untuk melibatkan diri, mengembangkan rangkaian mereka, dan mempamerkan kehebatan teknologi Malaysia sambil memupuk hubungan yang lebih erat antara syarikat. – UTUSAN





