PETALING JAYA: Nilai kerja dalam sektor pembinaan mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 14.2 peratus kepada RM36.8 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding 6.8 peratus pada suku sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi memberangsangkan itu dipacu oleh pengembangan lebih kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam, iaitu 24.7 peratus selepas peningkatan 18.0 peratus pada suku sebelumnya.
“Selain itu, subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman kedua-duanya mengalami peningkatan dua digit masing-masing sebanyak 11.8 peratus dan 11.5 peratus.
“Subsektor bangunan bukan kediaman juga berkembang pada kadar yang lebih laju sebanyak 3.8 peratus berbanding -1.9 peratus pada suku keempat tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, daripada nilai kerja RM36.8 bilion itu, kejuruteraan awam berjumlah RM15.1 bilion atau 41.1 peratus, terutamanya didorong oleh aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api yang menyumbang sebanyak RM7.6 bilion,” ujarnya.
“Nilai kerja bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman pula masing-masing adalah sebanyak RM10.2 bilion (27.7 peratus) dan RM7.8 bilion (21.1 peratus).
“Aktiviti pertukangan khas merekodkan RM3.7 bilion (10 peratus), sebahagian besarnya dalam aktiviti pemasangan elektrik (RM1.1 bilion), pemasangan paip, pemanasan dan pendingin hawa (RM0.9 bilion) dan penyediaan tapak (RM0.7 bilion),” katanya.
Mengulas mengenai sektor pembinaan mengikut pemilik projek, jelasnya, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan dengan peningkatan sebanyak 10.1 peratus berbanding 1.4 peratus pada suku keempat 2023.
“Ia didorong oleh kejuruteraan awam (13.5 peratus) dan bangunan kediaman (12.9 peratus).
“Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM21.8 bilion atau 59.2 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.
“Sebaliknya, nilai kerja oleh sektor awam mencapai RM15.0 bilion atau 40.8 peratus mengekalkan pertumbuhan dua digit untuk tiga suku berturut-turut dengan mencatatkan 20.6 peratus pada suku ini,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan itu didorong oleh kejuruteraan awam (29.3 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (16.8 peratus), dengan masing-masing berjumlah RM11.2 bilion dan RM1.2 bilion.
Katanya, sektor pembinaan mengikut negeri menunjukkan hampir 58.4 peratus daripada nilai
kerja pada suku pertama tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.
“Nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM8.3 bilion atau 22.6 peratus, terutamanya disumbangkan oleh kejuruteraan awam (RM2.9 bilion), diikuti bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing pada RM2.3 bilion dan RM2.2 bilion.
“Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan nilai RM4.8 bilion atau 13.0 peratus, terutamanya dalam subsektor kejuruteraan awam (RM1.8 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM1.4 bilion),” ujarnya.
Tambahnya, nilai kerja di Wilayah Persekutuan adalah RM4.3 bilion (11.7 peratus), manakala Sarawak mencatatkan RM4.1 bilion (11.1 peratus). – UTUSAN






