PETALING JAYA: Aktiviti pasaran harta tanah negara merekodkan pertumbuhan positif dengan lebih 100,000 transaksi bernilai RM56.53 bilion, iaitu lonjakan nilai transaksi sebanyak 34.3 peratus berbanding suku pertama tahun sebelumnya, kata Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Pada suku pertama tahun lalu, pasaran hartanah tempatan merekodkan sebanyak 89,024 transaksi bernilai RM42.11 bilion.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Abdul Razak Yusak berkata, pengukuhan pasaran hartanah pada suku pertama didorong oleh peningkatan ketara transaksi di semua subsektor.
Katanya, subsektor komersial merekodkan pertumbuhan sebanyak 33.4 peratus, iaitu kediaman (16.6 peratus), industri (14.3 peratus), pertanian (13.7 peratus) serta tanah pembangunan dan lain-lain (10.7 peratus).
“Subsektor kediaman terus mendominasi hampir 60 peratus aktiviti pasaran hartanah, dengan lebih 62,000 transaksi bernilai melebihi RM25 bilion.
“Kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah masih menguasai pasaran dengan 33,500 bilangan transaksi direkodkan iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah transaksi,” katanya dalam siaran langsung di Facebook Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di sini.
Beliau berkata, projek mula dibina meningkat kepada lebih 21,300 berbanding hampir 20,000 unit tempoh yang sama tahun sebelumnya, menunjukkan tanda awal yang positif pembangunan sektor hartanah negara.
Jelasnya, pembangunan baharu yang dirancang pula berkurang sedikit, dalam lingkungan 11,000 unit berbanding hampir 13,000 unit pada suku pertama 2023.
“Prestasi yang memberangsangkan turut direkodkan bagi pelancaran baharu kediaman pada suku dalam tinjauan dengan hampir 5,600 unit kediaman dilancarkan.
“Pelancaran ini meningkat hampir 19 peratus berbanding suku pertama tahun sebelumnya dari segi bilangan unit, manakala bagi prestasi jualan pula mencatatkan kadar 20 peratus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, kediaman siap dibina tidak terjual (overhang) merekodkan penurunan kepada 24,208 unit bernilai RM16.49 bilion daripada 25,816 unit overhang yang bernilai RM17.68 bilion pada suku keempat 2023.
“Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan minimal bagi overhang pangsapuri perkhidmatan pada kadar lima peratus dari segi bilangan dan hampir 10 peratus bagi nilai, dengan jumlah overhang mencecah 21,000 unit bernilai hampir RM18.2 bilion.
“Unit pangsapuri perkhidmatan berharga RM500,000 hingga RM1 juta adalah penyumbang terbesar iaitu 58 peratus daripada jumlah keseluruhan,” jelasnya.
Tambah beliau, data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada suku pertama 2024 berada pada paras 216.9 mata (RM467,997 seunit) dengan pertumbuhan tahunan pada kadar 0.5 peratus.
Menurutnya, semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif sederhana antara 0.5 peratus hingga 4.6 peratus kecuali Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Sarawak. – UTUSAN






