BATU GAJAH: Pembukaan kilang baharu syarikat cat jenama nasional, Smart Paints Manufacturing Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Bemban di sini membuka 200 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar termasuk Seri Iskandar.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan kilang yang membabitkan pelaburan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM100 yang juta dengan dilengkapi teknologi terkini dan sistem automasi Industri 4.0, sejajar dengan komitmen dan kesungguhan syarikat menuju kemajuan inovasi dan teknologi semasa bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
“Tentu sekali pembukaan kilang ini akan melimpahkan rezeki kepada peniaga kecil dan membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang tinggal berdekatan.
“Difahamkan sebanyak 200 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan melalui pembukaan kilang ini yang memberikan manfaat kepada penduduk khususnya yang tinggal di sekitar Batu Gajah dan Seri Iskandar,” katanya dalam sidang media pada Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Baharu Smart Paints di Kawasan Perindustrian Bemban di sini semalam.
Menurutnya, pembinaan kilang itu berupaya menggalakkan lagi aktiviti nilai tambah kepada penggunaan sumber mineral sedia ada yang banyak terdapat di negeri ini khususnya batu kapur atau kalsium karbonat.
Saarani berkata, secara tidak langsung, pembangunan kilang itu memberi nilai tambah kepada sumber mineral negeri bagi menggalakkan pengeluaran produk berkualiti dan mengelakkan sumber tersebut daripada hanya dieksport ke luar negara tanpa sebarang proses dan aktiviti hiliran.
“Saya difahamkan, sebelum ini kilang Smart Paints ada membuka operasi di Johor, tetapi menggunakan sumber mineral dari negeri Perak bagi penghasilan produk keluaran mereka termasuk mengeluarkan pelbagai jenis cat hiasan berasaskan air dan salutan pelindung untuk kegunaan di rumah dan industri,” katanya.
Katanya, berikutan itu, sayap pelaburan negeri, InvestPerak mengambil langkah proaktif bagi meyakinkan pihak syarikat untuk melabur di Perak memandangkan sumber-sumber mineral yang mereka gunakan dalam pembuatan produk yang dihasilkan oleh kilang mereka di Johor datangnya dari negeri ini.
“Setelah melalui beberapa proses perundingan dan konsultasi, akhirnya pihak syarikat bersetuju untuk bertapak di Perak.
“Persefahaman yang dimeterai tentunya memberikan situasi menang-menang kerana pihak syarikat dapat menjimatkan kos operasi sumber bahan mentah utama dalam industri pembuatan cat, manakala Perak dapat mengukuhkan lagi sektor mineral yang menjadi antara nadi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Katanya, Smart Paints merupakan syarikat cat jenama nasional, difahamkan turut mempunyai perancangan untuk menguasai 10 peratus daripada keseluruhan pasaran domestik yang bernilai RM1.3 billion. – UTUSAN






