Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi titik tolak penting bagi kehidupan ribuan pelajar di Malaysia.
Namun, faktor kemiskinan dan keghairahan menjadi pencipta kandungan mendorong kebanyakan golongan ini melupakan hasrat untuk menyambung pengajian.
Malah, segelintirnya cenderung membuka perniagaan berikutan terpengaruh dengan untung besar dan kekayaan yang ditonjolkan golongan usahawan di media sosial.
Namun, sejauh manakah tindakan atau pilihan untuk menamatkan pengajian sesudah SPM, memberi kesan terhadap masa depan mereka nanti?

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mengingatkan pelajar agar tidak berhenti menimba ilmu setakat SPM semata-mata, seolah-olah hanya mengisi masa lapang dalam fasa kehidupan remaja.
Katanya, walaupun peluang pekerjaan bagi lepasan SPM wujud, namun kadar gaji yang ditetapkan adalah rendah.
Ia susulan faktor pengetahuan, pengalaman dan kemahiran terhad golongan itu.
Justeru, kebanyakan majikan hanya boleh menawarkan gaji bawah RM1,800 bergantung kepada jenis pekerjaan.
“Majikan melihat kelulusan akademik dan kemahiran sebagai satu aset penting.
“Tanpa pendidikan lanjut atau latihan kemahiran, lepasan SPM sukar bersaing dengan calon ijazah.
“Ini sekali gus menyebabkan mereka kekal dalam pekerjaan yang tidak menjamin perkembangan kerjaya jangka panjang,” katanya baru-baru ini.
Kata Anuar, situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan bulanan individu tetapi taraf hidupnya secara keseluruhan.
Ia sekali gus menyebabkan seseorang terperangkap dalam kitaran gaji rendah yang sukar diatasi.

Perkahwinan awal
Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, Anuar menyarankan lepasan SPM agar tidak tergesa-gesa membuat keputusan untuk berkahwin di usia muda.
Katanya, tindakan mengutamakan pendidikan sebelum memikirkan soal perkahwinan dapat menjamin masa depan mereka yang lebih stabil.
“Pendidikan yang mantap bukan sahaja membantu individu tersebut, malah memberi peluang yang lebih baik kepada anak-anak mereka kelak.
“Berkahwin awal pun tidak mudah kerana pasangan muda akan dihimpit dengan isu kewangan dan mental.
“Jika tidak dikendalikan dengan baik, ia berisiko menyumbang kepada peningkatan kes perceraian dalam kalangan pasangan muda,” katanya.
Jelasnya, perkahwinan bukan sekadar soal cinta dan emosi, tetapi datang bersama tanggungjawab besar seperti pengurusan rumah tangga dan persediaan menyeluruh.
Oleh itu, adalah penting untuk melihat perkahwinan sebagai satu fasa kehidupan yang memerlukan komitmen jangka panjang, bukannya semata-mata untuk bersama insan tersayang.
Sehubungan itu, anak muda digalakkan untuk memperkukuh kedudukan diri terlebih dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Peluang kerjaya bagi yang gagal
Sementara itu, pakar pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, kursus-kursus vokasional mampu menjadi alternatif kedua bagi mereka yang gagal SPM.
Ia memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal dan merangkumi pelbagai bidang yang sangat diperlukan dalam industri hari ini.
“Misalnya, bagi mereka yang memilih bidang pemasangan elektrik, paip dan pembinaan dapat memperoleh tempat dengan mudah dalam pasaran pekerjaan.
“Oleh kerana kadar pekerja mahir dalam bidang tersebut masih lagi berkurangan, permintaan untuk kepakaran tersebut semakin tinggi,” ujarnya.
Selain itu, kursus vokasional juga menawarkan peluang dalam bidang lebih teknikal seperti kimpalanyang sangat diperlukan dalam industri tertentu.
Tambahan pula, kemahiran kimpalan boleh membuka pintu kepada pekerjaan dalam industri minyak dan gas, yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji tinggi dan kenaikan pangkat berterusan.
Banyak pekerja yang bermula dengan kemahiran vokasional sebelum ini, mencapai kedudukan yang lebih tinggi dan stabil dalam industri yang mereka ceburi.
Kelebihan utama mereka yang memilih jalan vokasional adalah mendapat pengalaman praktikal yang sangat dihargai oleh majikan.
Walaupun sering dianggap sebagai kemahiran biasa, namun keupayaan tersebut menjadikan mereka lebih mudah diterima dalam bidang pekerjaan yang relevan.
Aset jangka panjang
Justeru, katanya, kesinambungan pendidikan dapat membantu seseorang berfikir secara kritikal, mengurus risiko dan membina kerjaya yang beretika serta mampan.
“Contohnya, seseorang yang belajar pemasaran digital bukan sahaja boleh menjadi pempengaruh, malah berpotensi menjadi penasihat jenama, pengurus kempen, atau memulakan agensi sendiri.
“Malah, ramai pempengaruh yang berjaya pada hari ini, sebenarnya mempunyai latar belakang pendidikan yang kukuh.
“Ini membuatkan mereka mampu mencipta kandungan berkualiti tinggi kerana memahami strategi, dan nilai kandungan yang sebenar,” ujarnya.
Katanya, pendidikan juga melatih kemahiran komunikasi, pengurusan masa, disiplin diri, dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Justeru, kata Salleh, pendidikan merupakan pelaburan yang kekal, berbanding dunia media sosial yang mungkin serba pantas, namun bersifat sementara.
Lebih penting lagi, dengan ilmu yang kukuh, seseorang mampu membina jenama peribadi yang berkualiti, beretika dan dipercayai oleh penonton.
Kandungan yang dihasilkan bukan sekadar menghibur, tetapi memberi nilai kepada masyarakat sekali gus dapat memanfaatkan ilmu sebagai pempengaruh berimpak tinggi. – UTUSAN






