Siluet berstruktur, perincian teliti dan palet monokrom menjadi taruhan dalam koleksi The Godfather oleh jenama tempatan, Blvcloud.
Menampilkan 10 rekaan yang merangkumi baju-T, hoodie, jaket dan seluar, koleksi ini mengetengahkan gaya jalanan mewah menerusi pendekatan minimalis yang kemas serta berkarakter.
Ketua Pegawai Eksekutif Odyssey Intelligence Group, Megat Farzurien Megat Jaafar berkata, koleksi ini diinspirasikan daripada nilai kekuasaan, kesetiaan dan legasi bagi menggambarkan lelaki moden yang yakin serta berani.

“The Godfather mencerminkan falsafah jenama ini yang mengutamakan kesederhanaan tanpa mengetepikan elemen sofistikated.
“Rona hitam, putih dan kelabu diangkat sebagai identiti utama di samping memberi fokus kepada potongan, keselesaan dan karakter pemakai,” katanya baru-baru ini.

Koleksi The Godfather membuat penampilan sulung di pentas Kuala Lumpur Men’s Fashion Week (KLMFW) 2026, sekali gus memperkenalkan identiti Blvcloud dalam landskap fesyen lelaki tempatan.
Diasaskan oleh Farez Ridzwan sejak setahun lalu, jenama ini membawa interpretasi baharu terhadap fesyen lelaki menerusi gabungan elemen pakaian jalanan dengan kemasan jahitan yang lebih rapi dan premium.

Sementara itu, kata Megat Farzurien, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan selama hampir setahun yang melibatkan pemilihan material, kemasan serta perincian rekaan.
Dengan konsep rekaan yang malar segar, dia yakin jenama itu mampu kekal relevan dan menjadi pilihan lelaki yang mengutamakan gaya ringkas, moden serta berkualiti.






