PETALING JAYA: Penyanyi dari Indonesia, Fajar Noor merealisasikan penantian peminat di Malaysia menerusi ‘Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor’ yang berlangsung di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Jumaat lalu.
Showcase sulungnya di Malaysia itu menghimpunkan lebih 600 peminat terpilih, termasuk FajarSoul dari seluruh negara serta peminat dari Indonesia yang sanggup hadir bagi meraikan momen istimewa bersama penyanyi berkenaan.
Acara itu sekali gus membuktikan karya Sementara, Selamanya terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar di Malaysia dan Indonesia.
Menurut Fajar peluang bertemu dan membuat persembahan secara langsung di hadapan peminat Malaysia merupakan satu momen yang cukup bermakna, khususnya selepas menerima sokongan daripada peminat tempatan sejak muziknya mula mendapat perhatian di Malaysia.
Katanya, dia turut merakamkan penghargaan kepada semua peminat yang hadir dan menjadikan malam showcase itu sebagai kenangan istimewa buat dirinya.

“Aku mahu ucapkan terima kasih buat teman-teman semuanya yang sudah datang ke showcase Fajar pada Jumaat lalu untuk album pertama Fajar, Sementara, Selamanya.
“Semoga malam itu menjadi kenangan buat kalian kerana kalian mencipta kenangan paling indah untuk Fajar dan semua di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelang showcase berkenaan, Fajar turut mendekati peminat menerusi beberapa aktiviti promosi sekitar Kuala Lumpur, termasuk sesi persembahan jalanan di SOGO Kuala Lumpur dan Bukit Bintang bersama Syamel dan Khai Bahar.
Sementara itu, kehadiran Fajar di Malaysia menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkenalkan karya dan identitinya sebagai penyanyi kepada khalayak lebih luas di rantau Nusantara.
Menerusi Sementara, Selamanya, Fajar bukan sahaja berkongsi kisah peribadinya mengenai cinta dan kehilangan, malah membuka ruang kepada pendengar untuk menemukan kisah mereka sendiri dalam setiap lagu.
Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital.






