KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar, 41,mengakui terharu apabila fenomena peserta Akademi Fantasia yang pernah mencetuskan kegilaan dalam kalangan peminat masih diingati sehingga hari ini.
Mengingat momen itu, bekas peserta AF2 itu berkata, populariti yang diraih mereka ketika itu begitu luar biasa sehingga jadualnya dan peserta lain dipenuhi undangan sebaik sahaja keluar daripada program realiti tersebut.
Menurutnya, selain undangan untuk menjayakan pelbagai acara, mereka turut berdepan pengalaman luar biasa ketika berada di tempat awam, termasuk ketika pertama kali berkunjung ke Brunei.
“Kalau AF2 ini, awak bayangkan waktu kami dalam AF lagi, masa keluar itu jadual kita dah penuh. Dah penuh dengan tawaran duta produk, acara, karnival dan sebagainya.
“Memang undangan dah penuh. Dan yang paling tidak boleh dilupakan ialah peristiwa ketika kami pertama kali pergi Brunei. Insiden manusia macam lautan di lapangan terbang itu memang antara yang tidak boleh dilupakan.
“Kalau ada yang perasan dalam Trek Selebriti, ada yang sampai ke tahap mengejar bas, melompat-lompat hendak bersalam dan mencapai tangan kami. Nampak di cermin pun jadilah. Itu insiden-insiden yang memang kita rasa tidak boleh dilupakan, itu antara fenomenanya,” katanya.
Farah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran koleksi Embun Fajar by Siti Khadijah di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, semalam.
Bagaimanapun, Farah menyedari pengalaman tersebut mungkin sukar difahami atau tidak dapat dibayangkan oleh generasi muda hari ini yang tidak melalui sendiri fenomena AF ketika program berkenaan berada di kemuncak populariti.
Katanya, faktor perbezaan usia menyebabkan sebahagian generasi muda mungkin tidak mengetahui sejauh mana fenomena yang dicetuskan peserta AF pada ketika itu.
“Kalau cerita kepada generasi baharu sekarang, ramai sukar percaya, tak dapat bayangkan, tetapi itulah yang berlaku kepada kami peserta-peserta AF. Contoh lain, AF3, Mawi masa itu pun luar biasa,” katanya.
Menariknya, Farah berkata, walaupun generasi muda hari ini tidak sempat mengikuti fenomena AF ketika ia berlangsung, sebahagian daripada mereka masih mengenali peserta program berkenaan menerusi platform digital seperti YouTube dan TikTok.
“Saya pun terkejut sebab ada kalangan Gen Z tiba-tiba datang menegur. Saya tanya, ‘Kamu semua ini umur berapa? Kamu semua tengok AF dulu?’ Mereka cakap, ada tengok di YouTube, di TikTok.’
“Alhamdulillah ada yang masih menghargai,”katanya.






