Penyanyi, Aisha Retno terus menjadi perhatian sejak diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai juri sebuah program realiti nyanyian, Big Stage. Namun, di sebalik pujian, timbul juga suara yang mempersoalkan sama ada penyanyi muda itu benar-benar sudah bersedia memikul amanah sebesar itu.
Ada yang berpendapat industri muzik tempatan kini terlalu cepat mengangkat artis baharu ke kerusi pengadilan, sedangkan pengalaman mereka masih belum cukup panjang untuk dijadikan penanda aras.
Ada yang berpandangan, kerusi juri seharusnya diisi oleh individu yang sudah melalui pelbagai fasa perjalanan seni. Contohnya, dari zaman kegemilangan, kejatuhan, kegagalan sehinggalah bangkit semula dan kekal relevan selama bertahun-tahun. Pengalaman itulah yang dikatakan memberi nilai sebenar ketika menilai bakat orang lain.
Dalam situasi Aisha, kerjayanya dilihat masih berada dalam fasa membina nama, memburu pengiktirafan industri, carta muzik dan anugerah. Justeru, ada yang berasakan dia masih berada di landasan membina legasi sendiri, bukannya berada pada kedudukan neutral untuk menilai perjalanan seni peserta lain.
Persoalan yang turut dibangkitkan adalah sama ada Aisha sudah benar-benar membuktikan ketahanan sebagai anak seni yang mampu merentas perubahan zaman atau sekadar mewakili generasi semasa.
Hakikatnya, Cik Bunga secara peribadi rasa, trend boleh berubah dalam tempoh singkat, tetapi membina legasi memerlukan masa bertahun-tahun.
Apa yang lebih mencuri perhatian apabila Aisha sendiri pernah mengakui masih belajar mengenai peranan sebagai juri dan sedang menyesuaikan diri dalam memberi komen kepada peserta.
Pengakuan itu mengundang pelbagai reaksi. Ada yang berpandangan proses memahami tanggungjawab sebagai juri sepatutnya berlaku sebelum seseorang menerima kerusi berkenaan, bukan ketika sudah mengadili peserta di pentas pertandingan.
Apa pun, Cik Bunga rasa setiap individu pastinya mempunyai proses pembelajaran tersendiri. Kritikan yang diterima boleh dianggap sebagai ruang untuk memperbaiki diri, sekali gus membuktikan bahawa kepercayaan yang diberikan itu memang berbaloi. Cik Bunga berharap, kalau ada yang tegur Aisha demi kebaikan dan membina, ambillah ia sebagai satu kritikan yang bermanfaat untuk kerjaya.






