PETALING JAYA: Kumpulan Langkasuka mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Lagu Indie (ALI) 2025 menerusi karya Baju Yang Baru pada Pentas Akhir ALI 2025 di Proscenium Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square Mall, malam tadi.
Menurut kenyataan, kemenangan itu menyaksikan Langkasuka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, selain turut memenangi dua kategori lain iaitu Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Terbaik menerusi karya sama, masing-masing bernilai RM5,000.
Kejayaan tersebut sekali gus menjadikan Langkasuka sebagai penerima tiga trofi pada edisi keenam ALI 2025 yang menghimpunkan 15 finalis daripada keseluruhan 590 penyertaan.
Sementara itu, kumpulan Sethpoll dinobatkan sebagai pemenang Lagu Rock Terbaik menerusi Gelandangan Mewah, manakala Wrga memenangi Lagu Hip Hop Terbaik menerusi GKG (Gomo Kelate Gomo).
Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM5,000 bagi setiap kategori.

Secara keseluruhan, lima kategori dipertandingkan pada ALI 2025 iaitu Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik dan Persembahan Terbaik dengan jumlah hadiah wang tunai RM36,000.
Pentas Akhir ALI 2025 menyaksikan persaingan 15 karya dalam tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop, dengan setiap finalis mengetengahkan identiti serta pendekatan muzik tersendiri.
Pemilihan pemenang ditentukan berdasarkan 70 peratus penilaian panel juri profesional dan 30 peratus undian awam dalam talian, meliputi aspek seperti gubahan, lirik dan keaslian karya.
ALI 2025 menerima 590 penyertaan selepas tempoh penghantaran karya ditutup pada 31 Mac 2026, sebelum 90 karya terbaik dipilih ke peringkat seterusnya dan 15 finalis ditentukan menerusi undian awam.
Penganjuran ALI 2025 turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Rakan Muda (Rakan Muzik Presents) selaku penyokong utama program.






