SEJARAWAN sepakat mengatakan ‘Bronze Age Collapse’ atau keruntuhan zaman gangsa tidak hanya terjadi kerana satu punca. Sesingkat 100 tahun peradaban, empayar Hittite, pelabuhan Ugarit, istana Mycenaean mula tersungkur dalam masa hampir serentak. Eric H. Cline berteori bahawa kejatuhan ini dikaitkan dengan perfect storm iaitu pelbagai konflik yang bergabung dan menghentam seperti guntur.
Baik perubahan iklim, perdagangan, gempa bumi, peperangan dan sea peoples. Semuanya meranapkan segala yang pernah dibangga.
Christopher Nolan dalam The Odyssey membawa kiamat tamadun ke layar dengan menyemak sajak-sajak Homer. Penyair yang juga aoidos, mencipta The Odyssey kira-kira 400 tahun selepas kejatuhan zaman gangsa.
Bagaimanapun, puisi The Odyssey tentang perang Trojan, pahlawan, hantu-hantu di perjalanan, hubungan raja-dewa serta keinginan untuk pulang boleh dianggap sebagai cerita-cerita lisan epik yang diwarisi dalam versi paling berpengaruh.
Ithaca ketar ketir kerana tahu bahang peperangan yang bakal melanda negara, Penelope ditekan berkahwin lagi dengan mana-mana yang boleh menduduki takhta, petanda ramai meragui kepahlawanannya di tengah krisis walau selama bertahun-tahun dialah yang mengepalai negara semasa ketiadaan Odysseus. Khabar angin bertebaran kencang, musuh mereka sea peoples sedang dalam perjalanan.
Tidak tahu identiti, rupanya, asal bangsanya, namun yang pasti mereka berkuasa menghancurkan sesuatu. Kemenangan perang Trojan dan helah kuda membuatkan nama Odysseus disebut aoidos. Itu sahaja khabar terakhir didengar Penelope, selepas itu tidak ada lagi.

Ada kesedihan, rindu, percaya yang retak-retak tapi bukan kepada kesetiaannya kepada cinta. Odysseus seperti rata-rata karakter utama filem Nolan bersifat anti-hero, seringkali saya melihat dilema maskulin dan keresahan dalam karakter lelaki seperti dipamerkan Leonard Shelby, Borden, Cobb, Bruce Wayne hingga Odysseus.
Keputusan salah yang dilakukan tokohnya akan selamanya melekat sebagai beban, trauma dan ingatan buruk walaupun mungkin kejayaannya dikira sebagai kemenangan besar seperti filem Oppenheimer.

Namun filem The Odysses mengheret kekesalan lebih panjang, kemenangan terbesar perang Trojan siapa sangka akan mengubah dirinya buat selamanya. Dia enggan mengekori Agamemnon, memilih jalan lain, yakin akan pulang lebih pantas. Dia optimis kepada nasib baik, tapi kesombongan diri membuatnya mengabaikan nasihat seorang tua agar lelaki itu tak melalui laut yang berbahaya.
Tapi Odysseus yakin, jika kota Troy mampu ditawan, tidak ada apa lagi yang boleh menghalangnya. Dia mula mencabar hukum Xenia, jalan pulang bagai disumpah berjarak jauh hingga memakan masa bertahun lama. Satu demi satu orang disayang hilang di depan mata.
Odysseus lupa, penjara sebenar bagi seorang pahlawan bukanlah deretan raksasa atau seorang ahli sihir. Penjara juga boleh berbentuk perempuan cantik, bunga teratai, atau apa sahaja yang memberikan sebuah rasa selesa.

Kita tidak sedar kita terpenjara, semakin lupa tujuan untuk pulang dan itulah ujian paling berbahaya.
Nolan membawa kepiluan dalam sesuatu yang dianggap kemenangan. Kita tidak merasa impak yang kita lakukan sampailah mereka muncul di depan mata. Odysseus melihat bagaimana anak, isteri dan Ithaca jadi mangsa kesombongannya. Dari seorang pahlawan rupanya-rupanya dialah sea peoples yang digeruni orang, membuatnya berfikir kepulangannya bukan sesuatu yang patut diraikan.
Dia menghidu bahaya di mana-mana tapi kali ini di dalam rumahnya sendiri. Tapi dia tidak boleh mengubah apa-apa termasuklah dosanya membenarkan kepala wanita tak bersalah dipenggal di Kota Troy.
The Odyssey dibawa ke layar ketika sedang dunia berlaku perang, ketika kita sedang melalui super El-Nino yang ekstrem, ketika banyak ‘drama’ di selat Hormuz dan cerita-cerita penyesalan tentang jatuhnya sebuah peradaban sepatutnya membawa kita pergi lebih dalam menabung rasa kemanusiaan.






