PETALING JAYA: Jualan tiket konsert sulung kumpulan metal Jepun, Lovebites di Malaysia kini mencecah 60 peratus menjelang persembahan mereka menerusi Lovebites: Outstanding Tour Live Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Oktober depan.
Perkembangan itu mencerminkan sambutan menggalakkan peminat tempatan yang bakal menyaksikan penampilan pertama kumpulan berkenaan di Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah Outstanding Tour – SEA 2026.
Menurut kenyataan penganjur Rockstage Entertainment, baki tiket yang semakin terhad menyebabkan peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kehabisan.
“Konsert ini cukup istimewa kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia. Ditubuhkan pada 2016, kumpulan itu dianggotai Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan kibod), Fami (bass) serta Haruna (dram).
“Mereka mencipta identiti tersendiri menerusi gabungan heavy metal, power metal dan speed metal yang diperkukuhkan dengan melodi dramatik serta permainan instrumental berintensiti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tahun ini turut menyaksikan Lovebites meneruskan momentum antarabangsa menerusi siri persembahan di beberapa negara, termasuk penampilan di Nippon Budokan, Jepun.

“Selepas menjelajah Eropah, United Kingdom dan Jepun, kumpulan itu akan membawa Outstanding Tour – SEA 2026 ke Asia Tenggara dengan Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi jelajah berkenaan,” katanya.
Jelajah tersebut dijadual bermula di Singapura pada 2 Oktober, diikuti Thailand pada 3 Oktober sebelum kumpulan berkenaan membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 4 Oktober.
Tiket Lovebites: Outstanding Tour Live di Kuala Lumpur boleh didapati menerusi laman sesawang MyTicketEmpire.





