RIYADH – Hampir dua bilion umat Islam di seluruh dunia berpuasa dalam bulan Ramadan selama 30 hari dengan sebahagiannya menjalani ibadat itu dalam keadaan beberapa negara mereka dilanda peperangan, kekurangan makanan dan kos barangan yang melonjak naik.
Beberapa negara seperti, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain, Palestin, Lubnan, Yemen, Sudan dan Iraq termasuk wilayah Kurdistan, menetapkan kelmarin sebagai hari pertama Ramadan selepas anak bulan kelihatan.
Bagaimanapun, sebahagian lagi negara Arab dan Islam lain mengumumkan semalam sebagai permulaan Ramadan selepas anak bulan tidak dapat dilihat pada petang Selasa lalu.
Negara-negara itu ialah Mesir, Jordan, Turkiye, Syria, Libya, Tunisia, Algeria, Oman, Indonesia, Pakistan, Iran dan Malaysia.
Walaupun Ramadan disambut dengan kegembiraan dan kaya dengan pelbagai tradisi di seluruh dunia, realiti bulan suci ini berbeza-beza bergantung kepada keadaan ekonomi, politik dan sosial setiap negara.
Di Gaza, Sudan dan Pakistan, umat Islam menghadapi cabaran luar biasa akibat konflik, perpindahan paksa dan inflasi yang tinggi.
Walaupun berada dalam fasa gencatan senjata yang dipersetujui antara Hamas dengan Israel, rakyat Palestin di Gaza masih bergelut dengan kekurangan makanan dan akses terhad kepada air bersih yang menyuramkan kedatangan Ramadan..
Ramai keluarga kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan untuk berbuka puasa, dengan jumlah trak yang masuk ke Gaza jauh lebih rendah berbanding 600 lori sehari, seperti dijanjikan di bawah perjanjian gencatan senjata tersebut yang berkuatkuasa pada Oktober tahun lalu..
Permulaan Ramadan menyaksikan rakyat Palestin menyesuaikan jadual puasa mereka mengikut ketibaan bantuan, satu perubahan drastik berbanding tahun sebelum ini apabila hidangan mencukupi tersedia untuk keluarga.
Dapur awam kini menjadi penyelamat utama, memandangkan sekatan bantuan menyebabkan ramai tidak mampu menyediakan makanan untuk keluarga mereka sepanjang Ramadan.
Seorang penduduk Palestin yang tinggal di kem pelarian al-Mawasi, Nivin Ahmed menyatakan perasaan yang bercampur-baur pada Ramadan kali ini meskipun tiada lagi peperangan.
“Kegembiraan kami terbatas. Kami merindui mereka yang terkorban, masih hilang dan ditahan Israel. Meja Ramadan dahulu penuh dengan hidangan lazat, tetapi sekarang saya tidak mampu menyediakan walaupun satu hidangan utama dan lauk sampingan,” kata wanita berusia 50 tahun itu.
Kekurangan bekalan masih berlaku di Gaza, di mana ekonomi yang terjejas dan kerosakan infrastruktur, menyebabkan majoriti penduduk bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk keperluan asas mereka.
SUDAN
Perang yang berterusan di Sudan hampir tiga tahun memberi impak besar dan cabaran lebih besar untuk penduduk negara itu menghadapi Ramadan di tengah konflik serta pengusiran.
Konflik berterusan memberi kesan besar terhadap kanak-kanak sejak perang saudara melanda Khartoum pada April 2023, dengan 15.6 juta kanak-kanak menghadapi keganasan, penderaan, eksploitasi, kekurangan zat makanan dan wabak penyakit.
Jutaan orang melarikan diri dari rumah mereka dan menjadi pelarian di dalam negara serta merentasi sempadan, menjadikan situasi itu sebagai krisis perpindahan kanak-kanak terbesar di dunia.
Bagi kanak-kanak yang terpaksa melarikan diri akibat keganasan di Sudan, kenangan Ramadan sebelum perang kini hanya tinggal ingatan.
Sebahagian kanak-kanak menggunakan tanah liat untuk membuat replika makanan kegemaran mereka sebelum konflik, sebagai cara mengekalkan tradisi dalam situasi sukar.
Ramadan kali ini turut dibayangi dengan beban ekonomi yang tinggi, apabila peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan.
“Harga terlalu mahal pada musim puncak, dan peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga,” kata seorang pelarian dari Khartoum, Saleh Mubarak.
Situasi itu menyebabkan ramai tidak mampu menyertai meja iftar komuniti yang menjadi simbolik Ramadan di negara majoriti Islam berkenaan.
SYRIA
Berbeza dengan Ramadan di Syria, negara yang dahulunya pernah menghadapi konflik dan pergolakan kini beransur-ansur menunjukkan tanda pemulihan selepas kejatuhan pemerintahan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Di bandar-bandar utama, penduduk berusaha mengekalkan tradisi Ramadan dikenali sebagai Takriza, iaitu sambutan komuniti menandakan kedatangan bulan suci itu.
Tradisi itu mencerminkan kegembiraan dan keterujaan umat Islam Syria menyambut Ramadan sambil memperkukuhkan ikatan sosial di bandar tersebut.
Takriza merupakan perhimpunan tradisional di Damsyik yang diadakan beberapa hari sebelum permulaan Ramadan.
Keluarga dan jiran setempat berkumpul, sering di luar rumah untuk berkongsi makanan dan berbual dalam suasana penuh kemeriahan.
PAKISTAN
Di Pakistan, rakyat negara itu mula mengurangkan pembelian makanan dan mengubah cara membeli-belah kerana bil utiliti yang tinggi serta harga barangan tidak menentu menekan bajet isi rumah pada permulaan Ramadan.
Setiap Ramadan biasanya menyaksikan lonjakan dalam penggunaan makanan di seluruh Pakistan, terutama buah-buahan, snek goreng dan manisan yang dijual di gerai atau pasar kejiranan.
Namun, inflasi tinggi susulan krisis ekonomi, termasuk tarif elektrik dan gas yang melambung, mengubah kuasa membeli, memaksa ramai keluarga kelas pertengahan mengawal perbelanjaan, manakala peniaga melaporkan jualan merosot berbanding Ramadan sebelum ini.
“Situasi kerja kali ini berbeza, disebabkan inflasi, bil utiliti meningkat begitu tinggi sehingga orang ramai tidak mampu berbelanja,” kata seorang peniaga.
Kebanyakan pelajar dan isi rumah terpaksa menangguhkan pembelian dan hanya menyediakan keperluan dalam kuantiti kecil pada awal bulan, ketika harga makanan meningkat.






