DHAKA: Rakyat Bangladesh mengundi hari ini dalam pilihan raya umum pertama sejak kebangkitan maut penduduknya pada tahun 2024, ketika parti-parti politik ditekan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Sheikh Hasina ketika itu.
Barisan panjang terbentuk di luar pusat pengundian di ibu negara Dhaka apabila pengundian bagi pilihan raya yang sangat dinantikan itu dibuka di negara Asia Selatan yang mempunyai 170 juta penduduk.
Lebih 300,000 anggota tentera dan polis dikerahkan di seluruh negara, dengan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran sebelum pengundian tentang peningkatan sikap tidak bertoleransi, ugutan, serangan dan tsunami maklumat palsu, khususnya yang menyasarkan jutaan pengundi muda buat kali pertama.
“Saya mengundi pada tahun 1991 dan hari ini, selepas bertahun-tahun, saya sekali lagi menunaikan tanggungjawab mengundi di sini,” kata seorang pengundi, Nur Alam Shamim, 50, yang mengundi di Kolej New Model Degree di kawasan pilihan raya Dhaka-10.
Shithi Goswami, 21, pelajar di Kolej Bandar Raya Dhaka beratur awal untuk mengelakkan kesesakan.
“Ini undian pertama saya dan saya berharap selepas segala yang kami lalui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kini masanya untuk sesuatu yang positif,” katanya.
Calon utama perdana menteri, Tarique Rahman, 60, yakin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinannya mampu kembali berkuasa.
Namun, beliau berdepan cabaran hebat daripada parti Islamis terbesar negara majoriti penduduk Muslim itu, Jamaat-e-Islami.
Ketua Jamaat, Shafiqur Rahman, 67, telah menjalankan kempen akar umbi yang tersusun dan jika menang, bekas tahanan politik itu berpotensi mengetuai kerajaan pertama diterajui golongan Islamis yang secara perlembagaan bersifat sekular.
Tinjauan pendapat berbeza-beza, namun kebanyakannya meletakkan BNP di hadapan dengan sebahagian menunjukkan persaingan yang sangat sengit.
Pemimpin sementara negara itu, Muhammad Yunus, yang akan berundur selepas kerajaan baharu mengambil alih kuasa, dalam ucapan kepada negara sebelum pengundian berkata: “Ia (pilihan raya itu) akan menentukan hala tuju masa depan negara, watak demokrasi, ketahanannya dan nasib generasi akan datang.”
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 85 tahun itu memimpin negara Asia Selatan itu sejak pemerintahan Sheikh Hasina selama 15 tahun berakhir dengan penyingkirannya pada Ogos 2024. Pentadbirannya telah melarang parti Awami League pimpinan Hasina daripada bertanding dalam pilihan raya ini.
Hasina, 78, dijatuhi hukuman mati atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan tanpa kehadirannya di mahkamah berikutan tindakan keras berdarah terhadap para penunjuk perasaan pada bulan-bulan terakhir pemerintahannya dan kini bersembunyi di negara jiran, India.
Yunus juga mengetuai usaha pembaharuan demokrasi besar-besaran bagi merombak sistem pemerintahan yang disifatkannya sebagai rosak sepenuhnya dan bagi menghalang kembalinya pemerintahan satu parti.
Seramai 127 juta pengundi turut akan menentukan dalam satu referendum sama ada mahu menyokong cadangan had penggal perdana menteri, penubuhan dewan tinggi parlimen baharu, pengukuhan kuasa presiden dan kebebasan kehakiman yang lebih besar.
Pengundi-pengundi akan memilih 300 ahli parlimen secara langsung, dengan tambahan 50 wanita dipilih melalui senarai parti.
Pengiraan undi secara manual bermula selepas pusat mengundi ditutup pada pukul 4.30 petang waktu tempatan. Pada kebiassanya, keputusan pilihan raya diumumkan beberapa jam kemudian namun kali ini pengiraan turut melibatkan kertas undi referendum. – AFP






