BANGKOK: Hampir 200 rakyat Asia Tenggara merupakan antara lebih 50,000 anggota tentera Israel yang memegang lebih satu pasport, menurut data rasmi yang diperoleh oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel.
Maklumat itu diperoleh oleh NGO itu, Hatzlacha melalui Undang-undang Kebebasan Maklumat Israel.
Ia mendedahkan terdapat 111 warga Filipina, 71 warga Thai, empat warga Vietnam, dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia yang berkhidmat dalam tentera Israel setakat Mac 2025.
Amerika Syarikat (AS) membentuk kumpulan terbesar anggota tentera Israel yang memegang sekurang-kurangnya dua kerakyatan.
Terdapat sekurang-kurangnya 12,135 askar rejim Zionis memegang kerakyatan dwi Israel-AS, manakala 1,207 lagi memegang sekurang-kurangnya satu pasport tambahan.
Kumpulan seterusnya terbesar ialah dari Perancis (6,464 memegang kerakyatan dwi atau berbilang), Russia (5,169), Jerman (4,193) dan Ukraine (3,266).
Antara mereka dari Asia dalam data Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang dikeluarkan dan dilaporkan minggu lalu ialah 201 pemegang pasport India serta 76 lagi Jepun.
Sembilan orang masing-masing dari Hong Kong dan Korea Selatan, tujuh (China) dan Taiwan (3).
Dua orang lagi adalah masing-masing dari Nepal dan Sri Lanka.
Israel melancarkan serangan ketenteraan di Gaza selepas kumpulan Hamas melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menawan 251 tebusan, menurut angka Israel.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa sedang menyiasat dakwaan jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan di Gaza. – AGENSI






