WELLINGTON: Dua remaja secara tidak sengaja meninggalkan sebuah beg galas berisi ganja dan wang tunai di pusat pengumpulan barangan derma di luar sebuah kedai kebajikan di New Zealand, sebelum kembali dalam keadaan cemas untuk menuntut semula beg berkenaan.
Polis New Zealand dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, seorang sukarelawan di kedai tersebut pada mulanya menyedari bau yang sangat kuat sebelum membuka beg tersebut dan menemukan bungkusan plastik mengandungi ganja seberat 43.2 gram serta wang tunai berjumlah 3,700 dolar New Zealand (RM8,623).
Penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi dan penjualannya adalah menyalahi undang-undang di New Zealand, kecuali bagi tujuan perubatan dengan preskripsi doktor.
Menurut pihak polis, kejadian tersebut berlaku pada 18 Februari lalu di wilayah Southland, Pulau Selatan.
Siasatan mendapati remaja lelaki dan perempuan tersebut meninggalkan beg galas itu di luar kedai ketika menunggu kenderaan mereka diservis di sebuah bengkel berhampiran.
Pihak polis dipanggil ke lokasi selepas kedua-dua remaja itu kembali ke kedai tersebut dalam keadaan gelisah.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan remaja berkenaan, polis turut menemukan sepucuk pistol angin yang mana pemilikannya bagi individu bawah 18 tahun memerlukan lesen dan pengawasan orang dewasa serta alat pengimbas polis selain sejumlah lagi wang tunai.
Pihak polis tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pertuduhan yang dihadapi oleh remaja yang ditahan atau status kehadiran mereka di mahkamah.
Jurucakap polis bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi tepat kedai berkenaan bagi melindungi keselamatan kakitangannya.
New Zealand mempunyai peraturan yang ketat berhubung pelaporan kes yang melibatkan Mahkamah Kanak-Kanak, di mana pesalah di bawah umur 17 tahun biasanya dibicarakan. – CNN






