WASHINGTON: Sebuah robot penari tiba-tiba ‘mengamuk’ di sebuah restoran, menyebabkan makanan berterbangan ketika beberapa kakitangan yang panik cuba mengheret mesin itu keluar.
Pelanggan-pelanggan di restoran itu di San Jose, California, pada mulanya sedang menikmati hidangan mereka apabila sebuah robot humanoid mula menunjukkan aksi tarian, baru-baru ini.
Namun, ketika sedang asyik melakukan rutin tarian yang melibatkan hayunan lengan dan goyangan pinggul, robot tersebut tiba-tiba menghentam tangan ke atas meja.
Tindakan itu menyebabkan penyepit dan sos terpancut ke udara dari botol manakala kakitangan-kakitangan bergegas meluru ke arah robot tersebut untuk cuba mematikannya.
Walaupun tiga pekerja cuba bergelut dan menarik robot itu pada bahagian leher, mesin tersebut terus menari tanpa henti.
Klip kejadian itu kemudian menjadi tular di internet. Ramai netizen menganggap kerosakan teknikal itu melucukan. Ada yang memberi amaran bahawa ia adalah permulaan pengambilalihan dunia oleh robot.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang menyatakan kebimbangan terhadap insiden itu.
“Ketepikan jenaka, bukankah sepatutnya ada butang merah besar atau suis pemati pada robot itu?” tulisnya.
Dalam suasana ‘huru-hara’ tersebut, seorang pekerja dilihat memegang belakang leher robot itu sambil mencari kawalan pada telefon pintarnya..
Kakitangan-kakitangan terpaksa berkali-kali tunduk untuk mengelak daripada terkena hayunan tangan robot
Namun, pelanggan-pelanggan di restoran itu tidak peduli makanan bersepah, malah kedengaran ketawa apabila mereka melihat kejadian itu.
Insiden tersebut dipercayai sebahagian daripada acara promosi untuk filem Disney, ‘Zootopia 2′ di restoran berkenaan. – AGENSI






