TEHERAN: Iran ketika ini tidak merancang untuk menghadiri rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), lapor media negara itu, selepas Presiden Donald Trump mengarahkan perunding AS berangkat ke Pakistan pada Isnin, hanya beberapa hari sebelum gencatan senjata di Asia Barat tamat.
Sekatan berterusan AS ke atas pelabuhan Iran menjadi antara isu utama yang menghalang kemajuan, yang semakin rumit apabila sebuah kapal pemusnah AS pada Ahad melepaskan tembakan dan merampas sebuah kapal Iran yang cuba mengelak sekatan tersebut.
Teheran kemudian memberi amaran akan bertindak balas.
Penyiar negara IRIB pada Ahad memetik sumber Iran sebagai berkata: “Ketika ini tiada rancangan untuk menyertai pusingan seterusnya rundingan Iran-AS”.
Agensi berita Fars dan Tasnim sebelum ini memetik sumber tanpa nama yang menyatakan suasana keseluruhan tidak boleh dianggap sangat positif sambil menambah bahawa penarikan sekatan AS adalah prasyarat untuk rundingan.
Agensi berita rasmi IRNA pula merujuk kepada sekatan tersebut dan tuntutan tidak munasabah dan tidak realistik Washington, dengan menyatakan bahawa dalam keadaan ini, tiada prospek jelas untuk rundingan yang membuahkan hasil.
Iran dan AS bersama Israel, kini hanya tinggal tiga hari sebelum tamatnya gencatan senjata dua minggu yang menghentikan perang di Asia Barat.
Sebelum ini, AS-Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran pada 28 Februari.
Setakat ini hanya satu sesi rundingan selama 21 jam diadakan di Islamabad pada 11 April, yang berakhir tanpa keputusan muktamad, walaupun persiapan untuk rundingan baharu diteruskan selepas itu.
“Kami menawarkan perjanjian yang sangat adil dan munasabah dan saya harap mereka menerimanya,” kata Trump dalam satu hantaran pada Ahad, di media sosial dan mengulangi ancamannya terhadap infrastruktur Iran jika tiada perjanjian dicapai.
Trump berdepan tekanan untuk mencari jalan keluar selepas Teheran pada awal perang bertindak menyekat Selat Hormuz.
Laluan laut penting itu menjadi saluran bagi satu perlima bekalan minyak dunia dan gas asli cecair pada waktu aman dan penutupannya telah memberi kesan besar kepada ekonomi global serta menggoncang pasaran.
Selepas gagal membukanya semula, Trump bertindak balas dengan sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran dalam usaha memutuskan hasil minyak Teheran.
Iran sebelum ini membuka semula selat itu seketika pada Jumaat sebagai pengiktirafan terhadap gencatan senjata Israel-Hizbollah di Lubnan, namun menutupnya semula keesokan hari sebagai tindak balas terhadap tindakan AS yang terus mengekalkan sekatan.
Kor Pengawal Revolusi Iran memberi amaran bahawa sebarang cubaan untuk melalui selat tanpa kebenaran akan dianggap sebagai kerjasama dengan musuh dan kapal yang melanggar akan menjadi sasaran.
Jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baqaei, pada Ahad berkata, sekatan tersebut adalah pelanggaran terhadap gencatan senjata dan merupakan hukuman kolektif yang tidak sah terhadap rakyat Iran.
Beberapa kapal tangki minyak dan gas sempat melalui selat itu awal Sabtu ketika pembukaan singkat, namun menjelang pagi Ahad data penjejakan menunjukkan laluan itu kosong..- AFP






