PARIS: Suhu lautan dunia untuk bulan Mac adalah yang paling panas sejak 2024, menurut laporan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus pada Jumaat.
Ia memberi isyarat kemungkinan peralihan ke arah fenomena El Nino yang berupaya memburukkan lagi cuaca panas melampau di planet yang kian panas.
Copernicus memaklumkan bahawa purata suhu permukaan laut pada Mac adalah 20.97 darjah Celcius.
Catatan itu juga merupakan suhu paling panas sejak 2024, ketika fenomena El Nino terakhir berlaku sehingga menyaksikan rekod haba global tumbang.
“Ini mencerminkan kemungkinan transisi ke arah keadaan El Nino,” jelas Copernicus, yang merupakan badan pemantau pemanasan global bagi Kesatuan Eropah.
Beberapa agensi meteorologi sebelum ini telah meramalkan kemunculan semula El Nino pada tahun ini. El Nino merupakan kitaran iklim semula jadi yang memanaskan perairan Lautan Pasifik dan berupaya membawa suhu global yang lebih tinggi serta cuaca ekstrem.
Bulan lalu, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menyatakan bahawa kitaran La Nina iaitu fasa penyejukan yang bertentangan dijangka memberi laluan kepada keadaan neutral sebelum beralih sepenuhnya kepada El Nino lewat tahun ini.
Untuk rekod, fenomena El Nino pada 2023 dan 2024 adalah antara lima yang paling kuat pernah diukur, sehingga menyumbang kepada rekod tahun kedua terpanas dan tahun paling panas dalam sejarah.
Saintis menyatakan bahawa walaupun La Nina dan El Nino adalah kitaran semula jadi, ia berlaku di tengah-tengah krisis perubahan iklim akibat aktiviti manusia yang menaikkan suhu global dalam jangka masa panjang.
Lautan memainkan peranan utama dalam mengawal iklim global kerana ia menyerap sebahagian besar haba berlebihan yang berpunca daripada pelepasan karbon manusia.
Secara keseluruhannya, Copernicus melaporkan bahawa bulan lalu merupakan Mac keempat terpanas yang pernah direkodkan, dengan purata suhu global 1.48 darjah Celcius melebihi penanda aras zaman pra-industri.
Hampir seluruh Eropah mengalami suhu lebih panas daripada purata. Namun, keadaan paling ekstrem dikesan di Amerika Syarikat (AS) apabila gelombang haba berpanjangan melanda bahagian barat negara itu. Sebahagian besar kawasan Artik, Russia, dan Antartika turut mencatatkan suhu di atas paras purata.
Malah, bulan lalu turut menyaksikan litupan ais laut Artik berada pada tahap terendah dalam sejarah bagi bulan Mac. – AFP






