WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump berkata pada Jumaat bahawa ia sedang berusaha untuk memperluaskan penggunaan hukuman mati dalam kes-kes persekutuan.
Ia berkata, pihaknya juga akan menambah kaedah pelaksanaan hukuman seperti skuad penembak, renjatan elektrik dan gas selain suntikan maut.
“Pentadbiran terdahulu gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi rakyat Amerika dengan enggan meneruskan dan melaksanakan hukuman tertinggi terhadap penjenayah paling berbahaya, termasuk pengganas, pembunuh kanak-kanak serta pembunuh anggota polis,” kata Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche.
Jabatan Kehakiman di bawah Trump sekali lagi menguatkuasakan undang-undang dan berdiri bersama mangsa, katanya dalam satu kenyataan.
Presiden parti Republikan itu menamatkan pemberhentian 17 tahun pelaksanaan hukuman mati persekutuan pada 2020 semasa penggal pertama pemerintahannya.
Terdapat 13 pelaksanaan hukuman mati melalui suntikan maut dalam enam bulan terakhir pentadbiran Trump, jumlah tertinggi dalam kalangan pemimpin AS dalam tempoh 120 tahun.
Sebelum meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2025, Presiden AS daripada parti Demokrat Joe Biden telah meringankan hukuman mati terhadap 37 daripada 40 banduan di penjara persekutuan.
Trump, pada hari pertama beliau kembali ke Rumah Putih untuk penggal kedua, menyeru supaya penggunaan hukuman mati diperluaskan untuk jenayah paling kejam.
Hukuman mati biasanya dilaksanakan di peringkat negeri di AS tetapi kerajaan persekutuan juga boleh menuntut pelaksanaan bagi jenayah tertentu.
Lima negeri AS kini membenarkan skuad penembak, namun hanya satu, Carolina Selatan menggunakannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sembilan negeri membenarkan hukuman renjatan elektrik, tetapi kaedah ini tidak digunakan sejak 2020.
Dua negeri baru-baru ini melaksanakan hukuman menggunakan hipoksia nitrogen, iaitu kaedah yang menyuntik gas nitrogen melalui topeng muka sehingga banduan mati.
Penggunaan gas nitrogen sebagai kaedah hukuman mati telah dikecam oleh pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Hukuman mati telah dimansuhkan di 23 daripada 50 negeri di AS. Tiga negeri lain, California, Oregon dan Pennsylvania mempunyai moratorium pelaksanaan hukuman tersebut. – AFP






