BANDAR RAYA MEXICO: Sebuah kelab malam di sini mengumumkan akan mengenakan caj perlindungan sebanyak 5,000 peso (RM1,135) kepada warga Amerika Syarikat (AS) yang memasukinya.
Ia adalah sebagai pampasan terhadap penghinaan bertahun-tahun yang dilemparkan oleh Presiden Donald Trump terhadap negara itu.
Kelab malam yang dikenali sebagai ‘Japan’ itu mengumumkan kadar bayaran tersebut menerusi hantaran di Instagram.
“Ia bukannya kami mengenakan caj lebih kepada warga asing tetapi kami menawarkan diskaun kepada individu yang memerlukannya,” tulis kenyataan itu.
Menurut hantaran tersebut, bayaran masuk ditetapkan sebanyak 5,000 peso. Namun, warganegara AS tidak akan diberikan sebarang diskaun.
Warga Mexico dan Amerika Latin diberikan diskaun sebanyak 95 peratus manakala pelajar dan guru menerima potongan harga sebanyak 97 peratus, menjadikan bayaran hanya 150 peso (RM34).
Pemilik premis berkenaan, Federico Crespo memberitahu The Guardian bahawa langkah tersebut merupakan maklum balas terhadap serangan dan penghinaan berterusan oleh Trump terhadap Mexico sepanjang tahun lalu.
“Ini adalah tindak balas terhadap penghinaan selama setahun yang ditujukan kepada kami sebagai sebuah negara oleh AS. Ia sangat berkait rapat dengan banyak serangan terhadap Mexico daripada Trump,” ujar Crespo. – AGENSI






