NEW DELHI: India, salah sebuah pengeluar gula terbesar dunia, telah mengharamkan eksport komoditi penting itu sehingga akhir September bagi memastikan bekalan domestik mencukupi dan mengelakkan kenaikan harga.
Kerajaan melarang eksport berkuat kuasa serta-merta menurut perintah yang dikeluarkan lewat Rabu, kecuali beberapa pengecualian terhad termasuk penghantaran yang sudah dalam proses.
Eksport di bawah perjanjian kerajaan berkaitan keselamatan makanan dengan negara lain juga dibenarkan, menurut perintah itu.
Larangan tersebut akan berkuat kuasa sehingga 30 September.
Langkah itu dibuat susulan kebimbangan bahawa hasil tuaian gula negara seterusnya yang bermula sekitar Oktober boleh terjejas akibat hujan monsun yang lebih rendah daripada purata disebabkan fenomena cuaca El Nino.
Perang Iran turut menekan ekonomi India yang banyak bergantung kepada bekalan tenaga dan import baja dari Asia Barat serta menimbulkan ketidaktentuan terhadap prospek pertumbuhan New Delhi.
Eksport gula India telah merosot dengan ketara sejak kemuncak pada 2021–2022, menurut data kerajaan.
Penghantaran mencapai rekod 11 juta tan pada 2021–2022, tetapi menurun kepada 6.3 juta tan pada 2022–2023.
Ia jatuh mendadak kepada 100,000 tan pada 2023–2024 sebelum pulih sedikit kepada kira-kira 900,000 tan pada 2024–2025. – AFP






