MUMBAI: Jualan tembikai merosot secara drastik di India selepas sebuah keluarga seramai empat orang meninggal dunia dalam keadaan misteri sejurus selepas memakan buah itu.
Kejadian berlaku pada awal pagi baru-baru ini melibatkan Abdullah Dokadia, 45, isterinya Nasreen, 35 dan dua anak perempuan mereka, Ayesha, 16, serta Zainab, 13, di kediaman mereka yang terletak di Pydhonie, kawasan Bhendi Bazaar, selatan Mumbai.
Sebelum kejadian, keluarga tersebut telah melayan sembilan orang tetamu untuk makan malam dan menghidangkan nasi beriani. Namun, kesemua tetamu tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang gejala sakit walaupun memakan hidangan sama.
Selepas kesemua tetamu pulang, empat beranak berkenaan memakan tembikai pada sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan. Menjelang pukul 5 pagi waktu tempatan, mereka mula mengalami simptom muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit yang teruk.
Mereka dikejarkan ke hospital dalam keadaan separa sedar tetapi meninggal dunia selang beberapa jam antara satu sama lain.
Pihak polis telah mendaftarkan kes tersebut sebagai kematian mengejut dan merakam kenyataan daripada tetamu yang hadir untuk membantu siasatan.
Insiden ini telah mencetuskan panik sehingga menyebabkan permintaan terhadap tembikai jatuh hampir 30 peratus. Harga borong menjunam kepada sekitar lima rupee (RM0.20) hingga tujuh rupee (RM0.28) sekilogram. Ia lebih rendah berbanding harga biasa antara 10 rupee (RM0.41) hingga 35 rupee (RM1.44). – AGENSI






