JAKARTA: Ratusan nelayan di sebuah bandar pesisir pantai di pulau Jawa, Indonesia, terpaksa berhenti menangkap ikan dan meluahkan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup mereka ekoran lonjakan harga bahan api yang mendadak.
Walaupun harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah, kos bahan api tidak bersubsidi termasuk diesel industri dilaporkan melambung sehingga 30,000 rupiah (RM6.76) seliter sejak bulan lalu.
Peningkatan itu dianggap sangat membebankan berbanding harga sebelumnya yang berada dalam julat antara 14,000 (RM3.15) hingga 23,000 rupiah (RM5.18).
Pada Isnin, ratusan nelayan mengadakan protes di Pati, sebuah bandar pesisir di Jawa Tengah bagi menuntut kerajaan menurunkan harga diesel yang menjadi nadi utama pengoperasian bot-bot mereka.
Seorang nelayan di Pati, Zen Zen Al Wijaini, 40, berkata, beliau kini tidak dapat turun ke laut kerana pemilik bot tidak lagi mampu menampung harga bahan api yang merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan kos operasi.
“Kami tidak dapat mencari rezeki untuk keluarga kerana kos operasi yang terlalu tinggi. Akhirnya, kami hanya mampu menganggur di rumah,” katanya kepada AFP.
Syarikat minyak dan gas milik negara, Pertamina bulan lalu menjelaskan bahawa kenaikan harga tersebut tidak dapat dielakkan. Ia dilakukan berikutan faktor geopolitik, merujuk kepada peperangan di Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak global.
Gabenor Jawa Tengah, Ahmad Luthfi memaklumkan beliau akan memohon kepada pemerintah pusat di Jakarta untuk melonggarkan penetapan harga bahan api tidak bersubsidi berkenaan.
“Jika nelayan tidak dapat ke laut, impaknya sangat luas. Pengeluaran hasil laut akan terjejas, harga ikan mungkin meningkat, kadar inflasi akan terkesan dan ekosistem ekonomi di kawasan pelabuhan juga akan terganggu,” ujar beliau dalam satu pertemuan bersama nelayan. – AFP






