SANTIAGO: Polis Chile menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 1,000 pelajar yang berhimpun di Santiago bagi membantah pemotongan bajet pendidikan yang diumumkan oleh presiden baharu, Jose Antonio Kast.
Kast mengangkat sumpah bulan lalu dengan program ekonomi berasaskan pasaran bebas diinspirasikan oleh dasar Presiden Argentina, Javier Milei dan agenda anti-pendatang yang dikatakan mirip Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau berjanji untuk mengurangkan perbelanjaan awam sebanyak AS$6 bilion (RM23.8 bilion) dalam tempoh 18 bulan, bersamaan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun menegaskan program sosial tidak akan disentuh.
Sebagai langkah awal, kerajaan mengarahkan pengurangan perbelanjaan sebanyak tiga peratus di semua kementerian.
Dalam sektor pendidikan, pemotongan itu termasuk penghapusan elaun makanan untuk pelajar paling miskin tetapi kerajaan terpaksa menarik balik keputusan tersebut selepas menerima kritikan hebat.
Kerajaan juga pernah mempertimbangkan untuk mengehadkan akses pendidikan universiti percuma kepada pelajar baharu berusia lebih 30 tahun, tetapi akhirnya membatalkan cadangan itu.
Bimbang ia hanya merupakan taktik sementara kerajaan, pelajar turun berhimpun mempertahankan perbelanjaan pendidikan.
“Sebahagian daripada kami bergantung pada elaun itu untuk makan,” kata Juan David, 17, kepada AFP sambil menutup wajahnya bagi melindungi diri daripada gas pemedih mata selepas pertempuran tercetus dengan polis.
Wartawan AFP mengesahkan sekurang-kurangnya tiga tangkapan telah dibuat.
Pelajar di Chile menjadi barisan hadapan dalam beberapa protes besar sepanjang dua dekad lalu yang menuntut sistem pendidikan lebih saksama serta perubahan sosial lain.
Kast menggantikan bekas Presiden, Gabriel Boric yang juga bekas pemimpin gerakan pelajar. – AFP






