WASHINGTON: Menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) pada November ini, platform teknologi kini dibanjiri dengan pempengaruh janaan kecerdasan buatan (AI) yang menyebarkan mesej politik pro-Presiden Donald Trump.
Avatar AI yang kelihatan sangat realistik ini sering digambarkan sebagai wanita berambut perang dalam pakaian renang atau pakaian seragam tentera, dilihat memuji Trump secara berlebihan sambil menyerang pencabar politik beliau.
Kajian dan pemerhatian pakar mendedahkan beberapa trend utama mengenai fenomena ini antaranya Avatar AI ini menggunakan slogan politik Trump seperti ‘America First’ atau Amerika Didahuukan.
Ia turut mengulangi hujah beliau mengenai isu-isu panas seperti imigresen untuk menyemarakkan sokongan yang senonim dengan slogan Make America Great Again (MAGA).
Akaun-akaun ini dikesan aktif di TikTok, Instagram dan Facebook, di mana mereka mengulas isu-isu seperti pengguguran kandungan serta konflik Iran.
Pakar daripada organisasi CivAI menyatakan bahawa kandungan AI yang disasarkan secara khusus ini semakin sukar untuk dikesan, terutamanya apabila dihasilkan oleh operator yang canggih.
Selain kepentingan politik, banyak akaun AI ini didorong oleh keuntungan kewangan di mana mereka menggunakan politik sebagai medium untuk menarik pengikut dan mempromosikan produk komersial seperti karya seni bertema MAGA.
Meskipun identiti sebenar di sebalik akaun-akaun ini masih tidak jelas, kemunculannya mencetuskan kebimbangan mengenai manipulasi pendapat awam.
Malah, Trump sendiri pernah berkongsi video avatar AI di platform Truth Social miliknya yang menuduh Gabenor California, Gavin Newsom daripada parti Demokrat dengan dakwaan rasuah yang tidak berasas.
Penyelidik memberi amaran bahawa teknologi seperti ini berupaya mempengaruhi peratusan keluar mengundi dan memesongkan persepsi terhadap acara geopolitik dunia. – AFP/AGENSI






