WASHINGTON: Seorang penghantar piza warga emas bersara selepas dia mendapat ‘tip’ yang mencecah lebih AS$170,000 (RM673,000).
Dan Simpson, 68, sebelum ini menjadi tular di media social kerana kesungguhannya membelikan minuman untuk pelanggan menggunakan wang sakunya sendiri.
Dia sebelum ini bekerja sepenuh masa di Jabatan Pertanian Negeri Idaho dan melakukan kerja sampingan menghantar piza selama 14 tahun untuk menyara hidup.
Kisah hidupnya telah menyentuh hati jutaan netizen. Ini kerana dia sanggup singgah ke kedai runcit lain semata-mata bagi membeli minuman segera untuk pelanggan selepas stok di restoran tempatnya bekerja habis.
Keikhlasannya dirakam menerusi kamera loceng pintu milik pelanggan, Brian Wilson, yang kemudian memuat naik video tersebut ke TikTok sehingga meraih 2.5 juta tontonan.
Terharu dengan sifat murni itu, Wilson melancarkan tabung kilat GoFundMe bagi membantu Simpson bersara.
Simpson mendedahkan pada Jumaat lalu bahawa, dia bangun pada hari persaraan dan memeriksa baki akaun bank dan mempunyai wang AS$163,000 (RM644,822) sebelum meningkat lagi.
“Benar-benar satu hadiah persaraan yang luar biasa,” kata Simpson.
Meskipun sudah bersara, warga emas itu mendedahkan dia merancang untuk terus bekerja sebagai penghantar piza pada hujung minggu. – AGENSI






