WASHINGTON: Setiausaha Tenaga, Chris Wright memaklumkan bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini bersikap terbuka terhadap semua cadangan bagi mengurangkan beban kos bahan api, termasuk kemungkinan menggantung pelaksanaan cukai persekutuan terhadap petrol.
Bercakap dalam program Meet the Press terbitan NBC News pada Ahad, Wright menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mencari jalan penyelesaian susulan lonjakan harga minyak yang kian meruncing.
Berdasarkan data kelab motor AAA, purata harga petrol kebangsaan mencecah AS$4.52 (RM17.75) segelen atau 3.78 liter pada Ahad, iaitu peningkatan melebihi 50 peratus sejak tercetusnya konflik peperangan dengan Iran.
Ketika ditanya moderator Kristen Welker mengenai sokongan terhadap penggantungan cukai petrol persekutuan, Wright menjelaskan bahawa pihak pentadbiran menyokong sebarang langkah yang mampu meringankan beban rakyat di pam minyak.
“Kami terbuka kepada semua idea. Namun, harus diakui bahawa setiap keputusan pasti mempunyai kesan timbal balik,” katanya merujuk kepada cukai persekutuan yang kini berkadar kira-kira AS$0.18 (RM0.70) segelen.
Sebelum ini, wakil-wakil rakyat daripada parti Demokrat telah mengemukakan rang undang-undang pada Mac lalu untuk menggantung cukai berkenaan secara sementara sehingga Oktober ini.
Bagaimanapun, Wright enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada harga purata petrol bakal mencecah paras AS$5 (RM19.63) segelen, memandangkan isu tersebut merupakan polemik politik yang sensitif menjelang tahun pemilihan wakil-wakil rakyat pertengahan penggal.
“Saya tidak boleh meramalkan harga tenaga dalam jangka masa pendek atau sederhana. Apa yang penting, kami sedang berusaha menamatkan konflik selama 47 tahun yang dicetuskan oleh Iran terhadap AS dan Israel,” kata beliau.
Beliau turut menambah bahawa AS berada dalam kedudukan yang kukuh hasil daripada pengeluaran minyak dan gas asli domestik yang tinggi.
Situasi semasa menyaksikan harga minyak terus melambung tanpa menunjukkan tanda-tanda penurunan terutamanya akibat sekatan berterusan oleh Iran di Selat Hormuz.
Keadaan ini bercanggah dengan ramalan Wright pada Mac lalu yang menjangkakan harga minyak akan turun di bawah paras AS$3 (RM11.78) menjelang musim panas.
Pakar berpendapat walaupun sekatan AS terhadap pelabuhan Iran bertujuan melumpuhkan hasil pendapatan minyak negara itu, Teheran dilihat masih mampu bertahan daripada tekanan ekonomi tersebut untuk tempoh beberapa bulan lagi. – AGENSI






