CAPE TOWN: Seorang anggota polis terpaksa diturunkan menggunakan tali dari sebuah helikopter ke dalam sebatang sungai yang dipenuhi buaya di Afrika Selatan.
Ia adalah bagi mengeluarkan bangkai seekor reptilia gergasi yang dipercayai telah membaham seorang ahli perniagaan.
Misi dramatik itu berlaku di Sungai Komati selepas pihak berkuasa melancarkan operasi mencari mangsa yang dilaporkan hilang apabila kenderaannya terkandas. Mangsa hilang semasa cuba melintasi jambatan rendah yang dilanda banjir baru-baru ini.
Apabila pasukan penyelamat tiba di lokasi, kereta tersebut ditemui kosong menyebabkan penyiasat percaya mangsa telah dihanyutkan oleh arus deras.
Operasi yang melibatkan unit penyelam polis, helikopter dan dron akhirnya menemui sekumpulan buaya yang sedang berjemur di sebuah pulau kecil.
Komander Unit Penyelam Polis, Kapten Johant ‘Pottie’ Potgieter berkata, pengalaman bertahun-tahun membawanya perasaan curiga terhadap seekor buaya yang kelihatan baru sahaja kenyang.
Reptilia itu kemudian dibunuh sebelum Potgieter melaksanakan operasi yang disifatkan pihak polis sebagai sangat berbahaya. Dalam aksi yang mendebarkan, anggota itu diturunkan dari helikopter dengan tali untuk mengikat buaya tersebut sebelum kedua-duanya diangkat keluar dari air.
Buaya gergasi sepanjang 4.5 meter dengan berat sekitar 500 kilogram itu kemudian dibawa ke Taman Negara Kruger. Hasil bedah siasat mendapati sisa mayat manusia ditemui di dalam ususnya. – AGENSI





