LONDON: Beberapa pemain golf di Mukim Durham, England menemukan dua ekor ular sawa boa sepanjang kira-kira dua meter yang bersisik.
Dua ekor ular sawa boa ditemukan di padang golf Blackwell Grange di Darlington dalam tempoh seminggu.
Ular pertama ditemui pada 13 Jun ketika sesi latihan golf kanak-kanak. Reptilia itu ditermukan selepas pukulan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tepat mengenai ular itu.
Aaron Cox, 40, yang mengendalikan sesi latihan itu berkata, beliau menggunakan kayu golf untuk mengalihkan ular tersebut dari padang sebelum memasukkannya ke dalam sebuah kotak. Beliau melakukan perkara sama apabila ular kedua ditemukan berhampiran kawasan rumput panjang di padang itu pada 20 Jun.
Katanya, kedua-dua ular itu dibawa ke sebuah kedai reptilia berhampiran tetapi kedua-duanya mati kerana dijangkiti pelbagai penyakit.
Cox, yang berpindah ke United Kingdom (UK) dari Australia lapan tahun lalu berkata, beliau sudah biasa melihat ular di negara asalnya. Beliau tidak asing dengan kehadiran ular kapak di sekitar padang golf. Bagaimanapun, ular sawa boa tidak pernah ditemukan di kawasan itu sebelum ini.
“Saya sudah berada di sini selama enam atau tujuh musim panas dan tidak pernah perkara seperti ini berlaku. Tetapi, kini kami menemui dua ekor dalam tempoh seminggu dan tiga lagi pula ditemui di Yorkshire Utara,” katanya.
Ular sawa boa berasal dari Amerika Selatan dan boleh membesar melebihi tiga meter panjang. Walaupun bersaiz besar, spesies itu secara amnya tidak dianggap berbahaya kepada manusia kerana tidak berbisa dan jarang menyerang, sebaliknya lebih gemar memburu haiwan yang lebih kecil. – AGENSI






