PARIS: Perancis mengalami malam paling panas dalam sejarahnya dari Isnin hingga Selasa, ketika Perdana Menteri, Sebastien Lecornu berkata, 40 orang, kebanyakannya golongan muda telah lemas sejak 18 Jun di tengah-tengah gelombang haba yang teruk.
Beliau berkata cuaca panas melampau yang melanda negara itu telah mendorong lebih ramai orang mencari tempat untuk menyejukkan badan di sungai, tasik dan kawasan perairan lain, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan dan lemas.
Gelombang haba maut itu telah melanda Perancis sejak minggu lalu, mengganggu kehidupan harian dan memaksa penutupan sekolah serta pembatalan perkhidmatan kereta api.
Lecornu turut memanggil para menteri menghadiri satu lagi mesyuarat krisis pada Selasa bagi menangani keadaan tersebut.
Agensi cuaca Perancis, Meteo-France berkata, negara itu mencatatkan malam paling panas dari Isnin ke Selasa sejak rekod bermula pada tahun 1947.
Penunjuk suhu kebangsaan iaitu purata bacaan dari 30 stesen cuaca di seluruh Perancis mencecah 21.6 darjah Celsius berdasarkan angka awal yang direkodkan pada pagi Selasa.
Rekod sebelumnya ialah 21.4 darjah Celsius yang dicatatkan pada 25 Julai 2019.
Lecornu menyifatkan kematian-kematian terbaharu itu sebagai satu tragedi yang membimbangkan.
“Angka terkini yang dilaporkan kepada kami ialah 40 kematian sejak 18 Jun, kebanyakannya melibatkan golongan muda,” katanya dalam mesyuarat krisis tersebut.
“Mereka adalah mangsa pertama krisis yang sedang kita hadapi,” tambahnya.
Terdahulu pada Selasa, Menteri Sukan dan Belia Perancis, Marina Ferrari memberitahu penyiar France Inter bahawa kira-kira 20 orang telah lemas sejak awal hujung minggu lalu danl menggesa orang ramai yang mandi-manda atau berenang supaya mematuhi peraturan keselamatan.
Sementara itu, dua kanak-kanak ditemui maut di dalam sebuah kereta di Perancis pada Isnin, dipercayai menjadi mangsa gelombang haba yang mencatat suhu rekod dan mencetuskan amaran kesihatan di sebahagian besar Eropah.
Kanak-kanak berusia dua dan empat tahun itu ditemui di dalam kereta keluarga mereka di sebuah tempat letak kereta kawasan perumahan di bandar Carpentras, selatan Perancis. – AFP






