CARACAS: Angka kematian akibat bencana gempa bumi berkembar di Venezuela dilaporkan mencecah 1,430 orang pada Sabtu, ketika berjuta-juta lagi penduduk berdepan krisis sanitasi dan kekurangan keperluan asas berikutan bantuan awal Amerika Syarikat (AS) mula tiba.
Ketika berdepan kemarahan orang awam berhubung kelewatan respons pihak berkuasa tempatan, pemimpin interim Venezuela yang disokong AS, Delcy Rodriguez menegaskan bahawa negara itu tidak bersendirian dalam menghadapi musibah berkenaan.
Presiden Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez pada Sabtu melaporkan seramai 1,430 mangsa disahkan terkorban manakala 3,238 lagi mengalami kecederaan.
Menurut kenyataan AS, salah satu landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar kini kembali beroperasi bagi membolehkan pesawat tentera C-17 milik negara itu mendarat, selain sebuah kapal milik angkatan tentera lautnya turut dilaporkan sudah tiba di perairan negara berkenaan.
Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), OCHA mengesahkan bahawa pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari sekurang-kurangnya 17 buah negara kini sedang digerakkan bagi membantu mengesan mangsa yang terselamat.
Bagaimanapun, usaha mencari mangsa yang terselamat menyaksikan tindakan terdesak penduduk tempatan yang terpaksa menyelongkar sisa runtuhan bangunan apartmen menggunakan tangan, selepas kediaman mereka ranap dalam kejadian gempa berkembar pada Rabu lalu.
Pakar-pakar menyifatkan tempoh 72 jam pertama selepas berlakunya bencana alam sebagai fasa paling kritikal dan suntuk untuk menemui mangsa yang masih hidup.
Meskipun diselubungi duka, suasana pilu bertukar ceria di kawasan pantai La Guaira di utara Caracas iaitu wilayah yang terjejas paling teruk apabila penduduk tempatan berjaya mengeluarkan seorang bayi dalam keadaan selamat daripada runtuhan pada Jumaat, kira-kira 32 jam selepas gegaran bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda.
Menerusi satu video yang tular di media sosial, seorang lelaki dilihat mengalirkan air mata kegembiraan sambil memangku bayi berkenaan di dalam pelukannya.
PBB turut menganggarkan nilai kerosakan fizikal mencecah AS$6.7 bilion (RM27.3 bilion) bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Venezuela. – AFP






