CANBERRA: Biro cuaca Australia pada Selasa memberi amaran bahawa fenomena El Nino kini terbentuk di Pasifik dan dijangka memuncak menjelang akhir 2026 sebagai antara yang terkuat dalam tempoh tujuh dekad.
Pakar kaji cuaca meramalkan impak fenomena lebih kuat ini akan membawa hujan luar biasa di benua Amerika, manakala rantau Asia bakal berdepan keadaan cuaca panas dan kering yang melampau.
Situasi ini dilaporkan telah mula menjejaskan aktiviti penanaman tanaman, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan makanan di rantau paling padat dengan penduduk di dunia itu.
Menurut kenyataan rasmi Biro Meteorologi Australia, suhu permukaan laut di wilayah berkenaan telah melebihi ambang batas El Nino, manakala petunjuk atmosfera juga menunjukkan trend yang selari dengan fenomena tersebut.
“Unjuran semasa menunjukkan kecenderungan ke arah fenomena El Nino yang sangat kuat, berdasarkan tahap pemanasan di bahagian tengah tropika Pasifik.
“Kira-kira separuh daripada model ramalan menunjukkan impak fenomena ini boleh memuncak ke tahap antara yang tertinggi pernah diperhatikan sejak tahun 1950,” jelas biro tersebut.
Dalam pada itu, golongan saintis menyatakan bahawa isu perubahan iklim global akan mengeruhkan lagi kesan limpahan El Nino bagi tahun ini.
El Nino merupakan fenomena pemanasan berkala suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik. Menurut biro itu, ia sering dikaitkan dengan pengurangan taburan hujan pada musim sejuk dan bunga terutamanya di sepanjang pantai timur Australia, selain menyumbang kepada peningkatan suhu waktu siang di kawasan selatan.
Fenomena cuaca ini amat memberi kesan buruk kepada Australia memandangkan ia menjejaskan sektor pengeluaran pertanian negara itu yang juga merupakan antara pengeksport terbesar dunia bagi komoditi gandum, gula dan daging lembu.
Kesan El Nino terakhir yang melanda Australia antara tahun 2023 hingga 2024 telah mencatatkan tempoh tiga bulan paling kering dalam sejarah negara tersebut. – AGENSI






