COPENHAGEN: Denmark mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarah negara itu pada Sabtu, menurut Institut Meteorologi Denmark (DMI) ketika negara itu dilanda gelombang haba yang telah pun melanda sebahagian besar Eropah.
DMI pada mulanya memuat naik kenyataan di platform X kira-kira jam 2 petang waktu tempatan bahawa dengan suhu 36.6 darjah Celsius di utara Odense, Sabtu merupakan hari paling panas pernah direkodkan sejak ukuran bermula pada 1874.
Dengan nada berjaga-jaga, DMI turut menyatakan bahawa hari masih belum berakhir.
“Rekod itu hanya bertahan tepat selama satu jam,” kata DMI dalam hantaran susulan dan mengumumkan rekod baharu 37 darjah Celsius.
“Kami kini mempunyai rekod baharu bagi suhu mutlak tertinggi yang pernah direkodkan di Denmark. Hari ini (Sabtu) suhu 37 darjah Celsius dicatatkan di Beldringe, utara Odense dan di Odum, utara Aarhus,” kata ahli meteorologi DMI, Rasmus Stoltze Hansen dalam satu kenyataan.
Rekod suhu tertinggi sebelum ini di negara itu ialah 36.4 darjah Celsius yang dicatatkan pada Ogos 1975.
DMI sebelum ini telah memberi amaran bahawa rekod tersebut berkemungkinan dipecahkan apabila gelombang haba melanda negara itu.
Sementara itu, di ibu negara Denmark, Copenhagen, orang ramai dilihat cuba menyejukkan badan di sekitar pancutan air atau dengan terjun ke dalam air di kawasan pelabuhan.
“Saya rasa sedikit lebih baik sekarang,” kata jurutera alam sekitar berusia 26 tahun, Lasse Fjeldgaard, kepada AFP sejurus keluar dari kawasan pancutan air di pelabuhan Copenhagen.
“Saya rasa tiada siapa benar-benar mampu menyesuaikan diri dengan suhu seperti ini. Kita hanya perlu memastikan badan sentiasa terhidrat, berada di tempat teduh serta mengambil berat terhadap rakan-rakan dan juga orang lain,” kata Serine Helland, 28, seorang perunding dari Norway yang menetap di Copenhagen. – AFP






